Sunday, January 29, 2012

Jurulatih sementara Kedah letak jawatan

BH Online

ALOR SETAR: Jurulatih sementara Kedah, Mohd Nidzam Adzha, yang menggantikan Wan Jamak Wan Hassan yang digantung tujuh perlawanan Liga Super, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta berikutan prestasi hambar pasukan kendaliannya. 


Mohd Nidzam berkata, keputusan berkenaan dibuat memandangkan beliau gagal membawa pasukan berada pada kedudukan terbaik walaupun berusaha bersungguh-sungguh.



"Saya menyerahkan tugasan ini kepada penolong jurulatih Radhi Mat Din dan memberi fokus sepenuhnya kepada skuad Piala Presiden selepas ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Kedah ketika ini berada di tangga kedua tercorot liga dengan hanya mengutip dua mata dalam lima perlawanan. 

Mohd Nidzam yakin pemain mampu bangkit semula memburu kemenangan dalam saingan Liga Super musim ini memandangkan saingan masih di peringkat awal dan berharap mereka tidak putus asa serta bersatu padu sebagai satu pasukan. 

Beliau turut melahirkan penghargaan atas sokongan padu yang ditunjukkan penyokong setia Skuad Kenari yang mahu pasukan itu bangkit mencari kemenangan dan sekali gus berada pada kedudukan terbaik musim ini. 

Beliau yang sebelum ini adalah jurulatih skuad Piala Presiden Kedah dipilih untuk memangku jawatan Ketua Jurulatih bagi menggantikan Wan Jamak yang digantung tujuh perlawanan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...