Pemain Sarawak, Guy Bwele (kanan) menyekat kemaraan pemain Sabah pada perlawanan Liga Super di Stadium Likas, Sabtu lalu yang berakhir Sabah menang 2-1. |
KUALA LUMPUR - Reputasi hebat Terengganu tidak menggentarkan pengendali Sarawak, Robert Alberts sebaliknya yakin pasukannya mempunyai ramuan yang mencukupi untuk menyekat jaguh pantai timur itu daripada mencatat kemenangan kedua berturut-turut di Stadium Negeri, hari ini.
Albert berkata, dia akan mengamalkan strategi permainan yang sama ke atas Terengganu, seperti ketika berdepan Kuala Lumpur dan Sabah sebelum ini.
Jelasnya, dia juga tidak akan bersikap terlalu menghormati kekuatan lawan.
"Saya tahu Terengganu dianggap antara pasukan terbaik di Malaysia kerana mereka mempunyai barisan serangan yang mantap.
"Begitupun, saya tidak akan mengamalkan corak permainan negatif iaitu dengan bertahan sepanjang perlawanan dalam usaha menyerap kekuatan lawan dan melakukan serang balas.
"Saya akan mengarahkan anak-anak buah saya bermain seperti biasa dengan menyerang apabila mendapat bola dan barisan pertahanan perlu bermain secara berdisiplin serta mengekalkan fokus," katanya yang dihubungi, semalam.
Jelas jurulatih dari Belanda itu lagi, perlawanan dengan Terengganu akan menjadi kayu pengukur sejauh mana mereka mampu bersaing dengan pasukan Liga Super selepas muncul naib juara Liga Perdana musim lalu.
"Memang saya jangkakan perlawanan dengan Terengganu esok (hari ini) cukup menarik tetapi ia akan melihat keupayaan kami memberikan saingan kepada pasukan Liga Super.
"Apa yang penting, saya mahukan pemain memperoleh sesuatu dalam perlawanan ini nanti dan cuba meraih sekurang-sekurangnya satu mata tetapi saya lebih suka jika kita mampu mencapai kemenangan," jelasnya.
Skuad Bujang Senang yang bermula baik pada kempen Liga Super apabila menewaskan Kuala Lumpur 2-0 pada perlawanan pertama tewas 1-2 kepada pasukan jiran, Sabah, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Robert perlu berdepan Terengganu tanpa dua pemain, Mohd. Shahrol Saperi yang beraksi di bahagian tengah dan tonggak pertahanan Mohd Dzulazlan Ibrahim.
No comments:
Post a Comment