SIAPA yang bakal menjadi ‘mangsa’, Mohammed Ghaddar atau Denny Antwi?
Itu persoalan ditimbulkan penyokong selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mengumumkan skuad Kijang mengikat kontrak seorang lagi pemain import dari Nigeria, Obinna Nwaneri, 29, semalam.
Annuar dalam laman sosial Facebook memaklumkan bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan Nigeria itu yang mewakili negaranya sebanyak 33 kali sejak 2005 dan pernah beraksi dengan kelab Kazma Sporting dalam liga utama di Kuwait tahun lalu bakal diuji dalam perlawanan persahabatan menentang skuad senior kebangsaan, Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Pengambilan pemain import baru itu menimbulkan tanda tanya siapa pemain import Kelantan sedia ada yang bakal tersingkir daripada bermain untuk Liga Super kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya membenarkan dua pemain import untuk setiap pasukan.
Pelbagai komen dikemukakan dalam Facebook Annuar, meminta mempertimbangkan dengan sebaik mungkin sama ada memilih Ghaddar atau Antwi bermain dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) jika Obinna dipilih bermain untuk Liga Super.
Ada yang menyifatkan populariti Antwi kini semakin meningkat apabila sentiasa menerima sorakan ketika beraksi di padang apatah lagi ketika dia menari selepas menjaringkan gol.
Bagaimanapun, Ghaddar tetap mempunyai peminat tersendiri yang yakin pemain Lubnan itu akan bebas daripada badi ‘tidak bernasib baik’ untuk menjaringkan gol.
Difahamkan, pengurusan Kafa kini turut ‘pening kepala’ untuk membuat pilihan.
Setiausaha Agung Kafa, Azman Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya belum membuat keputusan berhubung kedudukan Ghaddar dan Antwi. “Kita masih ada masa hingga 13 Februari untuk membuat keputusan. Apa yang boleh saya katakan, jika pemain import baru yang sudah mengikat kontrak dengan kita (Obinna) menunjukkan prestasi cemerlang, besar kemungkinan kita akan menyenaraikannya untuk beraksi dalam Liga Super,” katanya.
No comments:
Post a Comment