Friday, January 13, 2012

Che Mat mahu tunggu dan lihat reaksi FAM


Harian Metro

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh tidak mahu menambah kekusutan mengenai kemelut antara persatuan itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebaliknya mengambil sikap tunggu dan lihat berhubung isu pemain import.


“Saya tak mahu memberi sebarang komen sekarang. Bukannya tidak mahu bertanggungjawab, tapi ingin tunggu dulu perkembangan seterusnya.

“Jika saya komen, tidak berapa sesuai, terserah kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Said) membuat keputusan. Kami (PBSNT) akur kepada setiap keputusan,” kata Che Mat. ketika diminta mengulas permintaan Ahmad berhubung status dua pemain import Terengganu, Francis Doe Forkey dan Erison Da Silva Santos Carnietto, yang dilarang beraksi dalam saingan Liga Super.




Bagaimanapun, Che Mat yang sudah 14 tahun memimpin PBSNT turut mengharapkan ada perkhabaran positif daripada badan induk bola sepak negara itu demi kebaikan sukan itu.

Ditanya jika Ahmad benar-benar serius mahu menarik keluar penyertaan Terengganu dan T-Team daripada beraksi dalam Liga M, Che Mat berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian ketika ini.


“Sukar saya membuat andaian, tapi jika kerajaan negeri membelanjakan RM6 juta untuk pasukan negeri Terengganu dan T-Team musim ini, kami terpaksa akur,” katanya.




Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Rozi Mamat berkata, beliau akan menghubungi FAM dalam masa terdekat untuk mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung perkara itu.

Katanya, buat masa sekarang beliau akan menunggu maklum balas daripada FAM terlebih dulu mengenai permintaan Ahmad yang mahukan dua pemain import itu dibenarkan beraksi dalam saingan Liga M.




“Kita tunggu apa reaksi daripada FAM terlebih dulu mengenai isu dua pemain import ini sebelum mengadakan perbincangan dengan FAM dan PBSNT bagi mengatasi kemelut ini.

“Bagaimanapun, saya mengharapkan FAM membuat keputusan yang sewajarnya demi pembangunan bola sepak negara kerana saya percaya mesti ada mekanisma terbaik untuk menangani perkara ini,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...