Wednesday, January 18, 2012

Felda buat Selangor tersentak


Pemain Perak, Akmal Rizal Rakhli (tengah) meraikan jaringannya menentang Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi. Perak menang 2-1. – UTUSAN/Roy Azis Abd Aziz


KUALA LUMPUR – Felda United meleburkan keegoan Selangor dalam aksi ketiga Liga Super semalam apabila berjaya melakarkan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Hang Jebat sekali gus meranapkan rekod tanpa kalah Red Giants.


Azrul Ahmad muncul wira skuad ‘Sang Peneroka’ itu apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-32 selepas menerima hantaran daripada bekas pemain Kuala Lumpur, Yong Kuong Yong.


Kejayaan meraih tiga mata ke atas gergasi Lembah Klang itu yang dianggap antara sebagai pasukan pilihan menjuarai Liga Super musim ini ternyata menggembirakan pengendali Felda, E. Elavarasan.


‘‘Kemenangan itu memang satu kejutan kerana Selangor adalah sebuah pasukan yang kuat dan tiga mata ini saya anggap cukup berharga setelah pemain berjuang bermati-matian di atas padang.


‘‘Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang berdisiplin terutama pada separuh masa kedua kerana dapat mengekang habis-habisan serangan dilakukan Selangor yang berusaha memburu gol penyamaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Di Stadium Perak, skuad Seladang menumpaskan juara Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan 2-1 dengan dua jaringan daripada Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-39 dan 50.


Walaupun Jean-Emmanuel Effa Owona meletakkan skuad Rusa itu di hadapan seawal minit kelima melalui situasi sepakan percuma, Akmal yang menggantikan Mohd. Failee Mohd. Ghazli pada minit ke-35 memusnahkan harapan Negeri Sembilan bagi sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.


Pendahulu liga, T-Team masih berjaya mengekalkan kedudukan selaku pendahulu walaupun sekadar seri tanpa jaringan dengan Sabah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.


Di Stadium Muhammad ke-IV, penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meranapkan impian Johor FC untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata apabila jaringan pada minit ke-72 memberikan kemenangan 2-1 kepada Kelantan.


Indra Putra Mahayuddin terlebih dahulu meletakkan Kelantan di hadapan pada minit ke-55 sebelum disamakan oleh Mohd. Khairul Ismail pada minit ke-63.


PKNS dan Kedah pula terus kempunan dalam mencari kemenangan pertama musim ini apabila kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 0-0 dalam aksi penuh hambar di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.


Jaringan tunggal pemain import yang baru didaftarkan Terengganu, Francis Forkey Doe pada minit ke-37 sudah cukup memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga hasil kemenangan ke atas Sarawak di Stadium Negeri.


Berpunca daripada hantaran lintang Ashari Samsudin, Francis mudah melepasi kawalan pertahanan Sarawak sebelum melakukan rembatan kencang di hadapan pintu gol.


Lions XII pula memperoleh kemenangan pertama apabila membenam Kuala Lumpur 2-1 di Stadium Jalan Besar hasil jaringan sendiri Aiman Syazwan Abdullah pada minit ke-41 dan Shahdan Sulaiman, minit ke-57 sebelum Fazuan Abdullah merapatkan jurang buat Kuala Lumpur pada minit ke-68 melalui sepakan penalti.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...