KUALA TERENGGANU - Jurulatih T-Team, Yunus Alif sudah hilang kesabaran dengan pemain import Zacharia Simukonda, yang tidak memberi gambaran sebagai seorang pemain bertaraf profesional.
Beliau berkata, Zacharia akan diberi peluang dalam beberapa perlawanan lagi sebelum tindakan drastik diambil ke atas pemain dari Zambia itu. Yunus bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil nanti.
"Persembahannya amat mengecewakan dan tidak menunjukkan permainan seperti diharapkan oleh peminat T-Team," katanya semalam.
Katanya lagi, sebagai penyerang, T-Team menaruh harapan amat tinggi kepada Simukonda untuk menjaringkan gol tetapi ternyata pemain itu gagal berbuat demikian.
Simukonda setakat ini baru menjaringkan satu gol dalam Liga Super setelah mengharungi empat perlawanan.
Yunus menegaskan, Simukonda perlu menunjukkan persembahan lebih bertenaga dan berkesan pada perlawanan akan datang bagi mengelak tindakan diambil ke atasnya.
Beliau mengharapkan pemain itu mula menunjukkan kemampuan apabila T-Team melayan kunjungan Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini, di mana beliau menjangkakan perlawanan itu sengit dan menarik.
T-Team, katanya, mengharapkan Simukonda memberikan persembahan terbaik dan berkesan supaya dapat mengembalikan keyakinan pasukan terhadap pemain import itu.
Yunus juga mengingatkan anak buahnya supaya tidak melakukan kesilapan mudah apabila bertemu pasukan dari Lembah Klang itu.
Katanya lagi, ketua pasukan, Rosdi Talib yang direhatkan dalam perlawanan terakhir kerana demam dijangka kembali memperkuatkan pasukan T-Team Sabtu ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment