Sunday, January 29, 2012

Kelantan terus kuasai liga


Penyerang import Kelantan, Mohd. Ghaddar cuba melepasi benteng pertahanan Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

KUALA LUMPUR - Juara bertahan, Kelantan mengekalkan penguasaan tangga teratas Liga Super apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas pasukan tangga tercorot, Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.




Ketiga-tiga gol pasukan tuan rumah dihasilkan pada babak kedua melalui Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-46, Mohd. Badhri Radzi pada minit ke-72 dan Dennis Antwi pada minit ke-79.

Kemenangan semalam memastikan Kelantan kekal pada puncak liga dengan 13 mata selepas lima perlawanan.

Pencabar terdekat, Terengganu juga garang apabila mencatat kemenangan keempat berturut-turut apabila jaringan tunggal Francis Forkey Doe pada minit ke-77 membantu skuad Penyu menewaskan Lions XII 1-0 di Stadium Jalan Besar.

Selangor pula menamatkan badi empat kekalahan ke atas T-Team pada musim lalu apabila menang 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Red Giants mendahului pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Ramez Dayoub namun Zairo Anuar Zailani bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48.

Azidan Sarudin muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-77.

Kedah bertambah derita apabila tewas buat kali ketiga, 1-3 kepada Johor FC di Stadium Darul Aman.

Azi Shahril Azmi menjaringkan gol pertama Johor FC pada minit ke-45.
Skuad Lebah menambah dua lagi jaringan melalui Riduwan Ma'on pada minit ke-64 dan Muhd. Kaironnisam Sahabudin Hussain enam minit kemudian sebelum Khyril Muhymeen memberikan gol saguhati buat Kedah pada minit ke-81.

Di Stadium Negeri, Kuching Sarawak berjaya mengikat Negeri Sembilan 2-2 dengan Zamri Morshidi memastikan skuad Rusa pulang hampa apabila berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-86.

Pasukan pelawat mendahului pada minit ke-45 melalui Ahmad Shakir Ali namun disamakan oleh Kalle Sone menerusi sepakan penalti pada minit ke-51.

Shakir Ali sekali lagi meletakkan Negeri Sembilan di hadapan pada minit ke-82 namun Zamri memastikan kegembiraan pelawat hanya kekal seminit apabila dia meledakkan gol penyamaan.

Di Stadium Hang Jebat, Perak terus mengikuti rapat kedudukan Kelantan dan Terengganu apabila menang tipis 2-1 dengan Felda United.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...