Saturday, January 28, 2012

Sarawak yakin mampu jerat Rusa




KUCHING: Meskipun kalau diukur dari segi keupayaan sememangnya Sarawak masih dilihat pada takuk ‘pasukan igusan’ ataupun pasukan belasahan.


Namun, segalanya bakal ‘berubah’ apabila Sarawak menaruh keyakinan tinggi untuk membenam Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super 2012 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini.





Di atas kertas, Sarawak dilihat sebuah pasukan yang mudah diratah, berbanding Negeri Sembilan berstatuskan pasukan ‘elit’ bergelar Juara Piala Malaysia 2011.


Malah, Negeri Sembilan dibayangi pemain-pemain penuh berpengalaman di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Shukor Adan dan Norhafiz Zamani Misbah serta penyerang import berwibawa, Jean Emmanuel Effa Owona.


Bersantai di tangga kelima setakat ini dengan mengumpul tujuh, Negeri Sembilan sudah pastinya mahu mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super musim ini.


Berbeza dengan Sarawak yang setakat ini menduduki tangga kesembilan dengan baru mengutip empat mata hasil satu kemenangan serta seri sekali dan tewas dalam dua perlawanan.


“Begitu pun kedudukan kami dan juga Negeri Sembilan, namun saya cukup yakin pemain-pemain kita akan mampu beraksi dengan cemerlang dan melakukan sesuatu terbaik,” kata pengendali Sarawak, Robert Alberts.
Alberts percaya persembahan hebat anak-anak buahnya ketika menambat Selangor dengan keputusan seri di laman lawan, Sabtu lalu memberi keyakinan tinggi buat mereka malam ini.


Beliau berkata semua pemain memiliki semangat perjuangan tinggi untuk mengharungi cabaran getir dalam Liga Super musim ini justeru mereka menjanjikan aksi yang terbaik.


“Semua pemain dalam ‘mood’ terbaik untuk beraksi dan saya percaya mereka yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama mampu beraksi cemerlang.


“Saya juga amat gembira apabila penyerang import, Kalle Sone menawarkan diri bersedia untuk beraksi dan saya yakin akan membawa khabar gembira buat pasukan kita,” katanya.


Kalle terlepas dalam empat perlawanan sebelum ini gara-gara dihempit kecederaan serius di pangkal paha. Setelah pulih daripada kecederaan, penyerang import dari Cameroon itu kini sudah tidak sabar untuk beraksi.


“Kita akan memberi peluang kepada Kalle (Sone) untuk beraksi menentang Negeri Sembilan (malam ini). Justeru, saya yakin jentera serangan kita mampu berfungsi dengan baik,” katanya.


Selain Kalle yang dijangka buat pertama kalinya diturunkan malam ini, seorang lagi pemain import iaitu Guy Bwele juga bakal disenaraikan setelah tidak beraksi ketika menentang Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu lalu.


Begitu juga penjaga gol utama Sarawak, Saiful Amar Sudar yang mengalami kecederaan kemungkinan bakal kembali semula ke posisinya yang digantikan oleh Sani Anuar Kamsani.


Sarawak dijangka mengekalkan kesebelasan utamanya lain seperti Mohd Hairol Mokhtar (kapten), Mazwandi Zekeria, Zamri Morshidi, Mohd Shahrol Saperi, Yosri Derma Raju, K. Rajan, Ashri Chuchu, Rames Lai dan Mohd Dzulazlan Ibrahim.


Alberts menarik perhatian walaupun menyedari tugas mereka amat getir bertemu Negeri Sembilan malam ini, namun beliau percaya anak-anak buahnya tidak ‘berputih mata’.


“Saya yakin semua pemain akan memberi komitmen tinggi dalam berhadapan cabaran Negeri Sembilan.


“Justeru, jika pemain-pemain mampu melakukan yang terbaik sudah pastinya kemenangan mutlak akan berpihak kepada skuad kita,” katanya.


Sehubungan itu, para peminat dan penyokong setia diharap datang beramai-ramai membanjiri Stadium Negeri malam ini untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan Sarawak.




Read more: http://www.theborneopost.com/2012/01/28/sarawak-yakin-mampu-jerat-rusa/#ixzz1kiKMO1bz

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...