Tuesday, January 31, 2012

Mat Yo mahu ‘ratah’ Kijang


Harian Metro

DEMI negara, pemain bola sepak paling bernilai 2011, Norshahrul Idlan Talaha bersedia ‘bermusuh’ dengan Kelantan seketika apabila skuad kebangsaan bakal diuji pasukan elit Pantai Timur itu pada aksi persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Norshahrul yang dipanggil pengendali kebangsaan, Datuk K Rajagobal untuk menyertai latihan pusat bersama 26 lagi pemain bakal menjadi pertaruhan terbaik untuk menggempur pasukan majikannya itu.


Namun bagi penyerang berusia 25 tahun itu, dia sedia memberi sepenuh komitmen kepada pasukan kebangsaan dan melupakan seketika cintanya terhadap skuad The Red Warriors.



“Tidak ada masalah bagi saya apabila menentang Kelantan, memang saya nak menang. Kalau boleh saya mahu menjaringkan gol untuk pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo sudah meledak empat gol untuk membantu Kelantan menghuni tangga teratas Liga Super musim ini.



Walaupun tanpa gandingan terbaiknya, Mohd Safee Sali yang tidak disenaraikan dalam skuad kali ini, Norshahrul tetap yakin dengan kemampuan pemain lain bagi persiapan menghadapi dua lagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Arab Saudi di Melbourne pada 24 Februari dan Filipina di Manila pada 29 Februari.



“Tanpa Safee skuad ini masih ada penyerang lain seperti Abdul Hadi (Yahaya) yang mempunyai pengalaman. Atas kertas memang Arab Saudi pasukan gergasi Asia tapi saya yakin kami mampu memberikan tentangan sengit,” katanya yang turut beraksi ketika Malaysia tewas 2-1 kepada Arab Saudi pada 2009.


Sementara itu, Rajagobal menjelaskan pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Arab Saudi mengenai kesediaan mereka mengadakan perlawanan persahabatan.



“Setakat ini belum ada keputusan rasmi tapi kita akan tunggu hingga minggu ini. Sebelum ini Arab Saudi sudah menunjukkan tanda positif untuk mengadakan perlawanan ini,” katanya.


Perlawanan persahabatan yang diatur ini antara persiapan skuad kebangsaan bagi misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF pada 24 November hingga 22 Disember ini.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...