Tuesday, January 17, 2012

Pahang cabar penguasaan ATM


PEMAIN ATM, Zaquan Adha (kiri) melepasi pemain Harimau Muda B, Asri Marzuki pada aksi Liga Perdana, semalam. - UTUSAN/ Hafiz Johari

KUALA LUMPUR - Barisan bintang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus menguasai tangga teratas saingan Liga Perdana 2012, kali ini dengan menewaskan Harimau Muda B 2-0 di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Hairuddin Omar dan Christie Jayaseelan memastikannya dengan jaringan minit ke-70 dan ke-80 sekali gus meletakkan skuad bimbingan B. Sathianathan mendahului liga dengan sembilan mata namun terikat dengan Pahang.

Hanya dipisahkan dengan perbezaan gol, Tok Gajah kekal di tangga kedua setelah menewaskan Sime Darby 2-1 hasil jaringan Saiful Nizam dan Gobinathan pada minit ke-31 dan ke-66 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Sementara itu, impian Perlis untuk mengutip mata penuh perlawanan selepas tewas dua perlawanan Liga Perdana terdahulu tidak kesampaian sebaliknya hanya mampu berkongsi satu mata dengan Pos Malaysia selepas seri 3-3 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Satu mata yang diperolehi Perlis semalam juga adalah mata pertama untuk pasukan itu dalam tiga perlawanan liga yang telah berlangsung ketika ini.

Pada perlawanan tersebut Perlis terlebih dahulu mendapatkan jaringan pada minit ke-22 menerusi tandukan pemain pertahanan L. Phul Sakh namun lima minit selepas itu Pos Malaysia pula menyamakan kedudukan untuk separuh masa pertama melalui sepakan leret Nor Nahrul Hayat Nordin.

Babak kedua berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan cuba untuk mendapatkan jaringan melalui percubaan tepat sebelum tuan rumah Pos Malaysia menambah gol kedua mereka melalui rembatan dalam kotak penalti oleh pemain tengah Mohd Hanifuddin Abdul Rahman minit ke-56.

Debaran perlawanan terus dirasai apabila Phul Sakh sekali lagi menjaringkan gol keduanya pada minit ke-75 dan selepas itu pemain import Perlis, Muhammad Lamin Conteh Al-Hidayah meledak gol ketiga melalui sepakan percuma minit ke-90.

Namun impian skuad Singa Utara untuk meraikan kemenangan tidak kesampaian apabila pemain Pos Malaysia K. Premananthan menjadi pemusnah skuad bimbingan Abdullah Hassan itu di waktu kecederaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...