Wednesday, January 25, 2012

Status bintang bukan jaminan


MARLON (dua dari kiri) menjadi sandaran ATM untuk mengharungi saingan Liga Perdana musim ini.

HARUS keluar dari zon ‘selesa’.

Itulah saranan jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan kepada barisan pemain pasukan itu selepas dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada Sime Darby pada aksi Liga Perdana Sabtu lalu.

Perlawanan ATM menentang Sime Darby yang dijadualkan pada 20 Januari lalu terpaksa ditunda keesokan harinya selepas hujan lebat.
Ketika itu, ATM selesa mendahului Sime Darby dengan 2-0 menerusi Marlon Alex James.
Begitupun, Sathianathan meluahkan rasa kecewa selepas pasukan itu gagal meneruskan momentum pada aksi ulangan, sekali gus tewas buat julung kalinya musim ini.
Bekas pengendali Kelantan itu menganggap barisan pemain terlalu memandang rendah keupayaan pemain lawan sehingga memakan diri sendiri.
Jelasnya, beliau mahu para pemain berkerja lebih keras dan gigih dengan menukarkan mentaliti tersebut jika berhasrat untuk beraksi di Liga Super pada musim depan.
Tambahnya lagi, beliau tidak mahu anak-anak buahnya terlalu bergantung kepada tenaga import sebaliknya mahu bekerjasama sebagai satu pasukan.
“Saya tidak mengetahui (punca kekalahan itu). Mungkin pada perlawanan pertama selepas mendahului 2-0 sebelum ditunda pada Sabtu lepas, kami terlalu yakin (untuk meraih tiga mata) menentang Sime Darby.
“Satu pengajaran yang cukup berguna kepada pemain-pemain saya. Sebagai pemain bintang, mereka haruslah beraksi dengan lebih baik dari pemain biasa. Bukan beraksi dengan sambil lewa.
“Nyata, dibarisi ramai pemain bintang namun ia belum cukup untuk 'melengkapkan' pasukan dengan status tersebut untuk meraih sebarang kemenangan.
“Dalam masa yang sama, saya juga tidak mahu mereka terlalu bergantung kepada pemain import dan lebih kepada corak berpasukan. Kami perlu ubah sikap ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, pemain harus kembali bangkit menjelang aksi menentang Pahang pada 3 Februari depan di dalam usaha untuk kembali merampas kedudukan pendahulu liga dari skuad kendalian Dollah Salleh yang kini mengatasi ATM dengan kelebihan satu mata.
Menurutnya, beliau tidak mahu pasukannya tercicir tiga mata berharga dan berazam untuk terus mencapai mata maksimum sebagai usaha untuk layak ke Liga Super pada tahun depan.
“Saya tidak percaya nasib itu ditentukan oleh orang lain. Kita sendiri yang menentukannya.
“Jika kamu berusaha dengan lebih keras, ia tidak mustahil nasib itu akan menyebelahi kita namun lebih mustahak adalah kami harus memberikan yang terbaik ketika menentang Perlis pada Jumaat depan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...