Wednesday, January 18, 2012

Khairul, Fadhli jalani latihan di Eropah


Harian Metro

DUA pemain utama skuad juara Sukan Sea Indonesia 2011, Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd Fadhli Shas antara pemain yang berada dalam perancangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk dihantar menjalani latihan dan ujian percubaan di Eropah.



Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal berkata, rancangan itu bukan hanya membabitkan kerjasama dengan kelab Liga Kejuaraan, Cardiff City saja sebaliknya dengan kelab lain di luar negara.

“FAM merancang menghantar beberapa pemain dan jurulatih menimba pengalaman di Eropah,” kata Subahan pada majlis perasmian 1Malaysia Cardiff City (1MCC) Logo and Social Media Platform, semalam.




Sebelum ini pemain Malaysia sudah beberapa kali menguji nasib di luar negara termasuk penyerang Harimau Malaya, Mohd Safee Sali dan kapten, Safiq Rahim bersama Cardiff City tahun lalu.

Jika dinilai berdasarkan prestasi pemain, penjaga gol nombor satu negara, Khairul Fahmi dan pertahanan tengah, Fadhli yang disenaraikan dalam skuad pilihan bawah 23 tahun Asia 2011 oleh laman web goal.com adalah pemain pilihan yang sesuai untuk diberi peluang selepas ini.


Subahan yang juga pengurus pasukan skuad kebangsaan percaya, selain pemain muda, jurulatih juga harus diberi peluang dan keutamaan untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.





“Kami bukan hanya melihat Cardiff sebagai destinasi pilihan, namun kelab lain juga. Kami mempunyai rancangan menghantar jurulatih menjalani latihan di Manchester United.

“Kami juga bercadang menghantar pemain muda kerana kita mempunyai pemain yang bagus ketika ini. Khairul Fahmi dan Fadhli adalah pemain yang berada dalam perancangan kami,” katanya.




Sementara itu, Pengerusi Cardiff City Football Club (CFFC) dan 1MCC, Datuk Chan Tien Ghee berkata, mereka bersedia berkongsi kepakaran membangunkan bola sepak Malaysia menerusi program pembangunan di peringkat akar umbi.

“Malaysia mempunyai ramai pemain bola sepak berbakat. Menerusi program bola sepak kelab profesional Cardiff, kami mempunyai struktur yang bagus untuk dikongsi bersama Malaysia,” kata Tien Ghee.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...