Wednesday, January 18, 2012

ATM tidak leka di puncak


PEMAIN ATM, Zaquan Adha (kiri) bersaing dengan pemain Harimau Muda B, Asri Marzuki dalam saingan Liga Perdana di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.


KUALA LUMPUR - Kedudukan sebagai pendahulu liga tidak membuat jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B, Sathianathan terlalu leka walaupun sudah ada yang berpandangan skuad 'Manchester City Malaysia' itu kini bagaikan 'juara dalam penantian' dalam saingan Liga Perdana musim ini.

Menurut bekas pengendali skuad kebangsaan itu, apa yang lebih mustahak ialah para pemainnya dapat mengekalkan rentak kemenangan dalam setiap perlawanan sebelum memikirkan peluang memburu kejuaraan.




''Liga baru masuk tiga perlawanan, status pendahulu tidak penting buat kami kerana apa yang akan diambil kira adalah kedudukan di penghujung musim.

''Bagi saya sekarang, apa yang saya mahukan daripada mereka ialah dapat mengekalkan konsistensi dari satu perlawanan ke satu perlawanan, jika pemain boleh lakukannya, barulah kami boleh fikirkan mengenai kejuaraan, " katanya yang ditemui sejurus perlawanan berakhir, semalam.

Ujar Sathia lagi, pasukannya beraksi tidak sebaik ketika mereka berdepan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tetapi tetap lega kerana masih mampu meraih tiga mata penuh.

''Memang susah hendak menjaringkan gol kerana Harimau Muda (B) bermain dengan baik sepanjang perlawanan.

''Mujurlah Hairuddin (Omar) dapat menjaringkan gol yang kita mahukan dan selepas itu mudahkan lagi kami mendapatkan jaringan dan meraih kemenangan pada malam ini.

''Penjaga gol lawan (Ilham Amirullah), bermain dengan cukup cemerlang sekali dan sentiasa berada di posisi yang tepat menyelamatkan percubaan berbahaya.

''Saya harap semasa kami berdepan dengan Sime Darby nanti, para pemain dapat menampilkan rentak yang lebih baik berbanding malam ini, " katanya.

Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya Isnin lalu, ATM dipaksa berhempas pulas oleh pemain-pemain muda Harimau Muda B sebelum memperoleh dua jaringan pada 20 minit terakhir perlawanan.

Hairuddin Omar meledak gol pembukaan ATM pada minit ke-71 apabila bola hantaran lintang Mohd. Fitri Omar sekadar ditampan lemah penjaga gol Harimau Muda B, Ilham Amirullah yang dicabar Marlon Alex James sebelum Hairuddin merembat mudah ke dalam gawang Harimau Muda B yang tidak dikawal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...