Saturday, January 21, 2012

ATM kecewa perlawanan dihentikan akibat hujan


Pemain Sime Darby, Sengbah Kennedy (depan) cuba melepasi pertahanan pemain ATM, Rezal Zambry Yahya dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium MP Selayang, semalam.

SELAYANG - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa menerima hakikat dua gol yang mereka jaringkan pada babak pertama ketika menentang Sime Darby dalam Liga Perdana semalam, tidak memberi sebarang makna, apabila perlawanan dibatalkan akibat hujan.



Perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dihentikan pada minit ke-43, menyebabkan perlawanan terpaksa dilangsungkan sekali lagi hari ini tanpa mengira dua jaringan ATM semalam.

Pengadil Mohd. Zamzaidi Katimin tidak mempunyai pilihan selain menghentikan perlawanan apabila hujan lebat berlarutan lebih 30 minit, serta kilat.

Sebelum perlawanan dihentikan, ATM menguasai perlawanan ketika Sime Darby sukar mencari rentak dan lebih banyak bertahan.

Marlon Alex James membuka tirai jaringan pada minit kelima hasil sepakan leret di dalam kawasan penalti.

Marlon sekali lagi membuktikan kehebatan apabila meledak gol kedua pada minit ke-35 hasil percubaan dari luar kawasan penalti.

Jurulatih B. Sathianathan jelas kecewa kerana perlawanan dihentikan akibat hujan namun akur dengan keputusan pengadil.

"Benda sudah hendak terjadi, apa boleh buat... saya tidak dapat jangka kami perlu bermain sekali lagi kerana cuaca hujan.

"Walaupun kami mendapat dua gol hari ini, belum tentu ia akan dapat diulangi esok, jadi saya harap pemain menguatkan mental mereka.

"Diharapkan keputusan akan memihak sekali lagi kepada kami walaupun saya tahu ia tidak mudah kerana lawan sudah tentu mahu bangkit apabila berhadapan dengan kami sekali lagi," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...