Thursday, January 26, 2012

Tiga mata lebih penting


Harian Metro

JURULATIH Perak, Norizan Bakar tidak gusar dengan aksi tidak konsisten barisan serangannya setakat ini biarpun isu itu kini menjadi bualan hangat penyokong pasukan Kejor Yob Kejor.

Sebaliknya, yang penting bagi jurulatih berpengalaman itu ialah keupayaan mengutip mata penuh bagi memastikan sasaran pasukan tercapai musim ini.


“Yang penting kami mengutip mata penuh. Siapa jaringkan gol bukan persoalan utama. Satu lagi yang saya mahu ialah pemain beraksi sebagai satu unit padu dan mantap.



“Kerjasama dan kesungguhan setiap anggota pasukan amat penting,” katanya.


Ketika ramai yang mempersoalkan keupayaan penyerang import, Lazar Popovic yang masih kemarau jaringan selepas empat perlawanan, jurulatih itu tampak tidak tertekan dengan ketumpulan penyerang Serbia itu setakat ini.



Perak setakat ini menjaringkan empat gol dengan dua gol disumbangkan Akmal Rizal Ahmad Rakhli manakala masing-masing satu gol oleh pemain tengah, Michal Kubala dan pemain pertahanan, Shahrom kalam.


 “Masih terlalu awal untuk saya ulas kerana baru empat perlawanan. Yang pasti pemain perlu terus bekerja keras dan sentiasa berada pada tahap bersedia untuk menghadapi perlawanan.


“Lebih penting setiap individu memberi sumbangan bermakna agar matlamat pasukan tercapai,” katanya.


Walaupun Perak menduduki tangga ketiga, Norizan tidak mahu anak buahnya cepat lupa diri kerana perjalanan mereka masih jauh.



“Kita tidak pasti berada di mana lagi. Oleh yang demikian pemain perlu beri tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan dan berusaha untuk mengutip sebanyak mata yang boleh.


“Seperkara yang perlu diingatkan ialah pemain tidak boleh memandang mudah mana-mana pencabar dan tidak menjadikan pencapaian lalu sebagai sandaran.



“Masa berlalu dan setiap pasukan sudah melaksanakan perubahan dalam usaha memantapkan pasukan. Pemain melakukan kesilapan besar jika bersikap terlalu yakin ketika bertemu pencabar tertentu yang mereka pernah tumpas tahun lalu,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...