Safee Sali bersedia untuk berhijrah ke gelanggang lebih besar seandainya tawaran daripada kelab Eropah menjadi kenyataan. |
JAKARTA - Kalau sebelum ini, pasukan juara Liga Thailand 2010, Muang Thong United berminat untuk mendapatkan khidmat Safee Sali, tawaran terbaru yang diterima pemain itu pasti akan melakar satu lagi sejarah baru buatnya.
Safee mengesahkan dia kini diintai pula oleh tiga kelab bola sepak ternama dari Eropah yang sudah menghubungi pengurusannya menyatakan minat melamarnya.
Biarpun enggan mendedahkan nama ketiga-tiga kelab bola sepak dari Eropah itu, namun, Safee secara peribadi mengakui, bersedia untuk berhijrah ke gelanggang lebih besar seandainya tawaran itu direalisasikan.
"Saya mengaku ada menerima tawaran dari tiga kelab Eropah baru-baru ini. Tawaran itu menyatakan minat untuk menawarkan saya peluang bermain di sana.
"Namun, saya belum bersedia untuk mengumumkan nama-nama kelab berkenaan kerana semuanya terlalu awal. Lagipun ia sekadar tawaran secara lisan," kata Safee kepada Utusan Malaysiaketika dihubungi dari Kalimantan, Indonesia, semalam.
Safee dan pasukannya, Pelita Jaya kini berada di Kalimantan untuk menentang pasukan Mitra Kukar pada 17 Januari ini.
Menurut pemain berusia 27 tahun itu, ketika mendengar khabar lamaran berkenaan, dia amat terkejut kerana tidak menyangka ada kelab sejauh dari Eropah yang mengikuti perkembangan kerjayanya.
Tawaran ini juga disifatkan Safee sebagai satu penghormatan bukan saja buat dirinya bahkan apa yang paling utama ia satu penghargaan buat Malaysia.
"Saya menerima tawaran ini dengan penuh kesyukuran. Tapi seperti yang saya katakan ia sekadar tawaran lisan, belum ada sebarang perbincangan lanjut. Semuanya terlalu awal untuk diumumkan," jelas Safee.
Sehubungan itu, dalam tempoh terdekat pengurusan Safee dijangka mengadakan perbincangan lanjut dengan kelab-kelab berkenaan.
Safee yang kini menggalas tugas sebagai kapten Pelita Jaya berkata, apa yang baik untuk kerjaya bola sepaknya diterima beliau dengan lapang dada.
Kalau tidak ada rezekinya dengan kelab Eropah, Safee masih bersyukur dengan kedudukan sekarang.
"Siapa yang tidak mahu bermain dengan kelab Eropah? Tentunya itulah impian setiap pemain. Kalau sudah tertulis rezeki saya, pasti saya bersedia untuk berhijrah. Kalau tidak sekalipun, saya akan terus bermain di sini (Pelita Jaya)," ujar Safee yang mengakui masih terkejut dengan tawaran itu.
Prestasi Safee dengan Pelita Jaya amat membanggakan apabila dia diberi tanggungjawab mengetuai kelab itu sebagai kapten biarpun kontraknya dengan kelab berkenaan akan berkahir hujung bulan ini.
Kata Safee, selepas setahun bersama Pelita Jaya, dia semakin berasa selesa dengan kelab berkenaan. - Utusan
No comments:
Post a Comment