Sunday, January 15, 2012

Penyu garang, Lions XII sekadar kongsi mata


Pemain import Perak, Lazar Popovic (kanan) diasak pemain Selangor, Ramez Dayoub pada perlawanan Liga Super di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - MINGGUAN/Riduan Rizal


KUALA LUMPUR - Terengganu nyata bersemangat setelah isu pemain import dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selesai kelmarin, apabila mencatat kemenangan selesa 3-0 ke atas Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dalam perlawanan kedua Liga Super, semalam.


Terengganu meraih tiga mata hasil dua gol Ashaari Shamsuddin pada minit ke-75 dan masa kecederaan babak kedua, setelah Ismail Faruqi menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-12.


Felda terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Nazri Ahmad dilayangkan kad merah pada minit ke-78.


Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Safiq Rahim muncul wira pasukannya apabila jaringannya pada minit ke-23 membolehkan Selangor menang 1-0 ke atas Perak.


Di Stadium Darul Aman, Kedah gagal menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan Lions XII.


Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor FC terkulai kepada pasukan pelawat, Negeri Sembilan 0-2 yang menyaksikan Ahmad Shakir Md. Ali muncul wira apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-32 dan ke-48


Di Stadium Likas, pasukan tuan rumah Sabah tidak menghadapi masalah untuk mengenepikan pasukan jiran, Sarawak 2-1 dengan Michael Baird dan Bobby Gonzales membuktikan bahawa mereka mampu berganding baik.
Baird menjaringkan gol pada minit ke-20 selepas menyambar bola susulan hasil rembatan Bobby, pada minit akhir babak pertama, apabila melakukan hantaran lintang kepada Bobby yang menanduk masuk gol kedua.


Gol Sarawak dijaringkan oleh K. Ravindran minit ke-72.


Namun ia sudah terlewat untuk Sarawak bangkit malah kehilangan seorang pemain pada minit ke-89 apabila Mohd. Shahrol Saperi dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua.


Di Stadium Hang Jebat, Kuala Lumpur terpaksa akur dengan kehebatan T-Team apabila tumpas 0-3 kerana gagal mengekang kehebatan Zairo Anuar Zalani yang menyumbat dua gol pada minit ke-31 dan ke-79.


Pemain import T-Team Zachariah Simukonda turut mencipta nama sebagai penjaring apabila menyumbang gol kedua buat pasukan kelab dari Terengganu itu pada minit ke-69.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...