Sunday, January 15, 2012

'Jangan perlekeh lawan'


PEMAIN Kelantan diingatkan supaya tidak memandang rendah kemampuan pasukan lawan pada perlawanan akan datang.
Sikap tersebut hampir mengundang padah apabila skuad The Red Warriors itu sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan PKNS dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV kelmarin.
Hal itu disuarakan oleh pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang mahu sikap tersebut dikikis segera.
“Kita tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan lawan yang akan ditentang selepas ini. Saya mahu pemain menjadikan keputusan ini sebagai pengajaran berguna buat kita menghadapi perlawanan akan datang.
“Harus diingat, mana-mana pasukan yang akan bertemu dengan Kelantan, pasti akan bermain mati-matian dan cuba untuk menewaskan kita dalam perlawanan tersebut. Jika mereka berjaya menewaskan kita ia merupakan satu tonik buat pasukan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di Kota Bharu semalam.
Pada perlawanan tersebut, ketua jurulatih Kelantan, Peter James Butler membuat percaturan berani apabila mencuba gandingan baru menurunkan Norshahrul Idlan Talaha dengan pemain import dari Ghana, Danny Antwi namun gagal membuahkan hasil.
Bagaimanapun rentak permainan tuan rumah berubah, apabila Peter Butler memasukkan dua tonggak berpengalaman Indra Putra Mahyuddin dan Nor Farhan Mohamad bagi menggantikan Nurul Azwan Roya dan S. Chanturu sebaik sahaja bersambung babak kedua.
Menyedari kemenangan perlu diraih, Butler membuat pertukaran pada minit ke-70 dengan mengeluarkan Antwi dan menggantikannya dengan Mohamad Ghaddar. Kemasukan Ghaddar memberi impak kepada jentera serangan Kelantan.
Dua minit selepas itu, Kelantan mendapat gol pertama menerusi kapten pasukan Mohd. Badri Razhi selepas bijak memanfaatkan peluang terhidang di hadapan pintu gol pelawat, bagaimanapun gol tersebut hanya bertahan selama lapan minit apabila Muhammad Fauzan menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan penalti.
Dalam pada itu, Azman memberitahu segala percaturan yang dilakukan serba tidak menjadi dan mengakui persembahan pasukannya sedikit hambar pada perlawanan tersebut.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...