PENGENDALI skuad Olimpik, Ong Kim Swee menganggap insiden membabitkan Khairul Fahmi Che Mat sudah selesai dan tidak akan mengambil sebarang tindakan atau hukuman terhadap penjaga gol itu negara itu berikutan kegagalannya melaporkan diri tanpa sebarang alasan pada hari pertama latihan akibat salah faham yang berlaku.
“Saya anggap ia sudah selesai. Yang mustahak dia sudah menyertai latihan dan saya tidak mahu perkara seperti ini menjejaskan tumpuan dan fokusnya.
“Saya lihat insiden ini bukannya berpunca daripada dirinya sendiri. Lebih baik sekiranya kita fokus kepada persiapan menentang Bahrain,” katanya.
Menurutnya, walaupun tidak sempat bertemu Khairul Fahmi kerana berada di Singapura sempena pelancaran dan undian Liga Singapura 2012, Kim Swee menaruh keyakinan tinggi penjaga gol Kelantan itu tetap komited dan bersemangat bersama skuad Olimpik menganggap kehadiran pemain berusia 23 tahun itu amat penting.
Ketiadaan Khairul Fahmi pada sesi latihan skuad Olimpik di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada petang Rabu lalu menimbulkan tanda tanya hingga mencetuskan pelbagai tanggapan membabitkan pelepasan penjaga gol utama Kelantan itu.
Namun dia tampil melaporkan diri sehari kemudian dengan menjelaskan ketidakhadiran pada tarikh di tetapkan sebagai masalah komunikasi membabitkan dirinya, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Mengenai saingan liga di negara jiran itu, Kim Swee berkata, beberapa perubahan jadual sudah diminta olehnya bagi memastikan tiada pertembungan membabitkan baki tiga perlawanan kelayakan Olimpik Kumpulan C yang membabitkan skuad negara.
No comments:
Post a Comment