Thursday, January 19, 2012

Mat Yo saingi pemain import


Norshahrul Idlan Talaha (kiri) dicabar pemain Johor FC, Khairi Kiman pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu, kelmarin.


KOTA BHARU - Meskipun saingan Liga Malaysia musim ini dibarisi pemain import, penyerang prolifik Kelantan, Norshahrul Idlan Tahala terus membuktikan sentuhannya semakin berbisa apabila membantu Red Warriors menewaskan Johor FC 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV kelmarin.



Gol jaringannya pada minit ke-72 sudah cukup untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata penuh buat kali pertama di gelanggang sendiri selepas diikat PNKS dalam perlawanan sebelum ini.

Norshahrul atau Mat Yo berkata, jaringan tersebut merupakan pembakar semangat buat dirinya untuk membuktikan kemampuan anak tempatan mampu bersaing dengan pemain import yang beraksi dalam saingan musim ini.

"Ini merupakan gol kedua peribadi saya selepas perlawanan di Singapura. Cita-cita saya selepas ini ialah untuk terus mendapatkan seberapa banyak jaringan untuk membantu pasukan meraih kemenangan dalam setiap perlawanan selepas ini.

"Sejak awal musim lagi saya menanam azam untuk menjaringkan seberapa banyak gol dan bersaing dengan pemain import yang beraksi dalam saingan liga tahun ini," katanya kelmarin.

Tambahnya, dia berharap rakan-rakan sepasukannya dapat membantunya untuk menjaringkan gol bagi memastikan Kelantan mengekalkan kejuaraan musim ini.

Mengulas kejayaan menumbangkan Johor FC dalam aksi ketiga Liga Super kelmarin, Mat Yo berkata kemenangan tersebut adalah adalah hasil kerja keras rakan sepasukan.

"Saya gembira dengan kejayaan ini. Kita telah bekerja keras sepanjang 90 minit perlawanan. Walaupun gagal menjaringkan gol pada babak pertama, namun kita berjaya bangkit pada babak kedua dan berjaya menjaringkan dua gol.

"Kemenangan ini bukan milik saya seorang tetapi ia milik rakan-rakan sepasukan yang tidak mudah berputus asa walaupun dikejutkan dengan jaringan penyamaan pelawat. Untuk perlawanan akan datang saya harap kita dapat mengekalkan momentum ini untuk meraih seberapa banyak mata," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...