Tuesday, January 17, 2012

Penyu mungkin bawa dua import




Francis Forkey Doe dari Liberia mungkin beraksi buat skuad Terengganu pada perlawanan dengan Sarawak dalam aksi Liga Super hari ini.

KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan menerbangkan dua pemain import ke Sarawak bagi membantu skuad Penyu menentang pasukan bola sepak negeri itu sekiranya lulus pemeriksaan kesihatan.


Setiausaha PBSNT Abdullah Salleh berkata, pemeriksaan kesihatan itu menjadi satu syarat kepada pemain-pemain asing oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


"Kita sedang menunggu keputusan pemeriksaan HIV daripada hospital," katanya semalam.


Dalam Liga Super tahun ini, Terengganu menggunakan khidmat dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.


Abdullah berkata, beliau berharap masalah itu akan selesai bagi membolehkan kedua-dua pemain itu beraksi di Stadium Negeri Sarawak, Kuching hari ini setelah Terengganu mengharungi dua perlawanan sebelum ini tanpa pemain import.


Sementara itu, jurulatih Mohd Zan Mat Aris berkata Terengganu akan turun sebagai underdog apabila bertemu Sarawak di Kuching.


Menurutnya ini, kerana pasukan bumi kenyalang itu merupakan antara pasukan terbaik dan boleh menggugat Terengganu dalam pertandingan Liga Super musim ini.


Bekas jurulatih Kuala Lumpur itu berkata, beliau telah mengingatkan anak-anak buahnya supaya memberikan persembahan terbaik bagi memastikan Terengganu tidak kecundang.


Mohd Zan berkata, kecederaan beberapa pemain tidak membimbangkan kerana pasukan itu mempunyai ramai pemain simpanan yang tidak kurang hebatnya untuk diturunkan.


Terengganu yang juga juara Piala FA 2011 setakat ini memperolehi tiga mata hasil kemenangan 3-0 menentang pasukan Felda United baru-baru ini dan kalah dengan pasukan Perak 0-1. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...