Pemain Kedah Mohd Syamim Alif Sobri (kiri) cuba melepasi pemain Kelantan Mohd. Aziz Ismail pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam. – UTUSAN/ Kamal Basir |
KUALA LUMPUR – Kelantan bergelar peneraju baru saingan bola sepak Liga Super 2012 untuk sekurang-kurangnya mungkin dalam tempoh 24 jam selepas membenam Kedah 3-0 di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam.
Jaringan Mohammed Ghaddar, Norshahrul Idlan Talaha dan Dennis Antwi melonjakkan juara bertahan itu dengan 10 mata, berbanding pendahulu asal, T-Team yang kurang tiga mata dan akan menentang pasukan ‘abang’, Terengganu, hari ini.
Penyerang import Lebanon, Mohammed menyempurnakan penalti pada minit ke-35 selepas Norshahrul dibentes Fauzie Nan dalam kotak penalti untuk membuka tirai jaringan Wira Merah, yang belum kalah selepas empat perlawanan.
Minit ke-78 menyaksikan Norshahrul pula menambah derita Sang Kenari dengan merembat masuk umpanan Antwi yang melepasi kawalan tiga lawan selepas menggantikan Mohammed, enam minit sebelum itu.
Antwi sekali lagi menggembirakan pelawat apabila berjaya merampas bola dari kaki penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias untuk menjadikan keputusan muktamad 3-0 pada masa kecederaan.
Kedah beroleh dua peluang terbaik bagi sekurang-kurangnya merapatkan kedudukan namun tolakan Khyril Muhymeen Zambri sempat ditepis penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-43.
Pemain muda Kedah, Faizal Abu Bakar pula kempunan apabila rembatan kaki kanannya pada minit ke-69 sekadar menggegarkan palang gol biarpun sudah menewaskan Khairul Fahmi.
Sementara itu, Pahang turut bergelar pendahulu baru Liga Perdana biarpun membazirkan pendahuluan dua gol untuk sekadar diikat 2-2 dan berkongsi satu mata dengan Perlis di Stadium Utama, Kangar.
Mengumpul 10 mata, Tok Gajah mungkin hanya mendahului liga 24 jam kerana teraju asal, Angkatan Tentera Malaysia akan kembali hari ini bagi perlawanan yang ditangguhkan kerana hujan lebat semalam dengan Sime Darby.
No comments:
Post a Comment