Saturday, January 28, 2012

Irfan Bakti tiada cadangan rombak skuad



KUALA LUMPUR - Irfan Bakti tidak bercadang melakukan rombakan pada bahagian serangan menjelang pertemuan getir Selangor menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, hari ini.



Walaupun tidak gembira dengan sentuhan penyudah barisan hadapan ketika bertemu Sarawak pada perlawanan terakhir, yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan, Irfan tetap menaruh harapan kepada formula dan pemain yang sama dalam usaha memburu tiga mata di tempat lawan di padang lawan.

"Tiada perubahan pada barisan serangan pada perlawanan esok (hari ini), masih yakin dengan pemain serta taktikal yang saya gunakan sebelum ini.

"Cuma saya nasihatkan kepada pemain, jangan terlalu kedekut memberi peluang kepada rakan sepasukan menjaringkan gol, kerjasama berpasukan amat penting.

"Situasi ini boleh dilihat melibatkan Amri Yahyah dan Solehin Kanasian semasa bertemu Sarawak baru-baru ini, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada perlawanan dengan Sarawak tempoh hari, Amri dan Solehin memilih melakukan percubaan sendiri walaupun terdapat beberapa rakan sepasukan berada dalam posisi yang lebih baik untuk menjaringkan gol.

Selangor tewas dalam keempat-empat perlawanan musim lalu kepada T-Team, iaitu dua pertemuan pada saingan Liga Super dan dua lagi pada Piala Malaysia.

Bagaimanapun, ia tidak membimbangkan Irfan yang mahu semua pemain Selangor melupakan apa yang berlaku pada musim lalu.

"Apa yang berlaku musim lalu tidak memberikan sebarang kesan lagi. Saya mahu semua pemain agar kembali bangkit selepas hambar dalam dua perlawanan terakhir, " ujarnya.

Mengenai kekuatan T-Team, bekas jurulatih Terengganu itu berkata, dia akan meletakkan Nasriq Baharom bermain pada bahagian pertahanan kanan dalam usaha mengikat kelincahan pemain lawan, Mohd. Faiz Subri.

"Itu antara perubahan ketara yang saya akan lakukan di bahagian pertahanan kerana saya sifatkan dia (Faiz) antara pemain berbahaya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...