KUALA LUMPUR - Berada dalam situasi sama, pertembungan Kedah dan Johor FC dalam Liga Super di Stadium Darul Aman esok menyaksikan kedua-dua pasukan terdesak memerlukan kemenangan untuk keluar daripada zon penyingkiran.
Johor FC gagal memungut sebarang mata dalam tiga perlawanan terakhir, manakala skuad Kenari lebih parah kerana selain tidak mampu mencatat kemenangan, mereka juga belum meledak gol dalam empat perlawanan.
Atas faktor itu, jurulatih skuad Lebah, K. Devan menganggap pertemuan esok pasti sukar kerana Kedah sudah tentu tidak mahu membiarkan maruah mereka terus diperkotak-katikkan.
Dalam masa sama, kata Devan, pasukannya juga dalam misi memburu kemenangan bagi mendaki carta liga.
"Kedah berada dalam situasi tertekan kerana masih belum mencatatkan kemenangan tetapi saya perlu memilih pendekatan berhati-hati apabila bertemu mereka nanti.
"Kedah sudah pasti mahu bangkit dan mencatatkan kemenangan pertama di hadapan penyokong sendiri bagi mengembalikan semangat mereka.
"Jadi cukup bahaya jika pemain-pemain saya mengambil mudah akan pertemuan itu nanti," katanya.
Tambah Devan, Kedah masih sebuah pasukan yang baik kerana mempunyai ramai pemain berkualiti seperti Baddrol Bakhtiar, Amar Rohidan, Khyril Muhymeen dan Sabre Mat Abu.
"Terlalu awal untuk menilai kekuatan sebenar setiap pasukan kerana liga baru bermula, jadi tidak adil untuk mengatakan Kedah pasukan yang lemah," katanya.
Tegas Devan, dia tidak mahu terlalu fikirkan masalah keyakinan diri yang melanda Kedah, sebaliknya apa yang mustahak adalah mengenai kekuatan pasukannya sendiri.
"Kami juga perlu bangkit daripada kedudukan sekarang. Kami tidak boleh berterusan kalah walaupun mempamerkan peningkatan prestasi," katanya.
No comments:
Post a Comment