Nazmi Faiz mansor |
KUALA LUMPUR - Pemain muda berbakat, Nazmi Faiz Mansor dikaitkan dengan kelab Wales, Cardiff City yang dikatakan berminat menawarkan tempat selama setahun kepada pemain itu bagi tujuan latihan dan pendedahan.
Menurut laporan www. walesonline.co.uk, pemain tengah berusia 17 tahun itu dilihat prospek terbaik kerana usianya yang masih muda berbanding dua pemain senior, Safee Sali, 27 dan Safiq Rahim, 24.
Skuad Bluebirds sebelum ini memberi peluang kepada penyerang kebangsaan, Safee dan ketua pasukan Harimau Malaya, Safiq mengikuti latihan bersama para pemainnya selama beberapa minggu.
Namun, Faiz dilihat calon yang lebih sesuai untuk mengikuti program penuh kelab tersebut memandangkan usianya yang masih muda dan memiliki tempoh yang panjang untuk dibentuk gaya permainannya.
Bos Bluebirds, Malky Mackay yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini dikhabarkan mengadakan perundingan untuk membawa Nazmi menyertai kelab itu selama setahun.
Mackay percaya mana-mana pemain Malaysia yang menyimpan hasrat untuk bermain di Britain memerlukan masa yang agak panjang bagi menyesuaikan dengan gaya permainan di sana.
"Safee berjaya menyesuaikan diri dengan latihan bersama pasukan utama Cardiff, begitu juga Safiq, walaupun dia bertubuh kecil, tetapi dia memiliki bakat semula jadi.
"Gaya permainan di United Kingdom lebih laju dan seseorang pemain perlu memiliki fizikal yang kuat dan Safee berjaya melakukannya.
"Bagaimanapun, pemain memerlukan tempoh beberapa tahun untuk menyesuaikan diri dengan bola sepak kami dan perlu belajar tentang aspek fizikal, pemakanan serta kecergasan. Pemain muda lebih baik," kata Mackay.
Selain Nazmi, jurulatih Malaysia skuad bawah 23 tahun, Ong Kim Swee turut diberi peluang untuk mendapat pendedahan bersama Cardiff.
Namun disebabkan komitmen bersama Harimau Muda dia tidak dapat memenuhi tawaran tersebut.
No comments:
Post a Comment