Tuesday, January 24, 2012

'Pengurusan pasukan perlukan penerangan'


SEMUA pengurusan pasukan Liga Malaysia (Liga-M) digesa memberikan sesi penerangan mengenai gejala rasuah kepada pemain dan kaki- tangan pasukan bagi mengelakkan kegiatan itu menghantui prestasi pasukan masing- masing.


Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjelaskan demikian bagi mengelak gejala rasuah kembali menghantui Liga Malaysia.
"Masalah ini pernah melanda liga bola sepak negara sebelum ini dan ia telah memberikan kesan yang amat dahsyat sehingga ramai pemain ternama menghadapi hukuman penggantungan," katanya di Ipoh semalam.
Beliau berkata, sekiranya masalah rasuah kembali menghantui pasukan, ia akan memberi kesan kepada prestasi semasa FAM yang kini mula melangkah baik berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain.
"Bagi mengatasi 'penyakit' itu menular semula, pengurusan pasukan perlu mengambil langkah awal dengan memberikan sesi penerangan kepada pemain," katanya.
Raja Ahmad Zainuddin berkata, pasukan boleh secara bebas memanggil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penceramah bebas dari semasa ke semasa untuk memberikan penerangan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang bimbang keselamatan pemain pasukannya akan terjejas akibat diancam bookie berikutan pendedahan kegiatan menjual perlawanan membabitkan pemain pasukan dari utara tanah air itu.
Penolong pengurus pasukan Liga Perdana Perlis, Hamunir Hamzah berkata, kebimbangan itu wujud setelah beberapa pemain, termasuk awang import membuat aduan kerana bimbang keselamatan mereka dan keluarga akibat kemungkinan diancam bookie memandangkan kes itu kini disiasat SPRM dan polis.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...