KANGAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pemain bola sepak skuad Liga Perdana Perlis dalam tempoh terdekat untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai gejala mengatur perlawanan yang didakwa melibatkan pasukan negeri berkenaan baru-baru ini.
Ini berikutan terdapat laporan mengenai wujudnya kes seumpama itu selepas perlawanan Liga Perdana antara MP Muar dengan Perlis yang menyaksikan skuad Singa Utara dibelasah teruk 7-2 pada 9 Januari lalu.
Pengarah SPRM Perlis, Alias Darus berkata, setakat ini pihaknya belum lagi memanggil pemain skuad berkenaan untuk disoalsiasat tetapi telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pagi semalam untuk mendapatkan maklumat mengenai kesahihan dakwaan tersebut.
"Tidak ada seorang pemain pun disoal siasat setakat ini, malah kami (SPRM) juga belum menerima aduan rasmi berhubung dakwaan ini.
"Cuma pagi tadi kami bertemu pegawai-pegawai PFA untuk mendapatkan maklumat mengenai kesahihan dakwaan tersebut," kata beliau ketika ditemui di sini semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini mengenai SPRM menyiasat seorang pemain skuad tersebut berhubung gejala mengatur perlawanan berikutan kekalahan teruk Perlis kepada MP Muar.
Akhbar turut melaporkan mengenai sebahagian besar pemain Liga Perdana negeri itu telah berjumpa dengan bookie di Alor Setar sebelum perlawanan tersebut.
Bagaimanapun, kata Alias, perjumpaan dengan pegawai-pegawai PFA semalam hanya sekadar mendapatkan maklum balas mengenai dakwaan tersebut malah belum ada bukti atau dokumen yang diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.
"Setakat ini, kami cuma mendapat gambaran dakwaan ini menerusi laporan akhbar, belum ada aduan rasmi dan siasatan dilakukan ke atas pemain yang disyaki.
"Buat masa ini, kami sedang meneliti kesahihan dakwaan tersebut sebelum mengambil sebarang langkah," tambah beliau.
No comments:
Post a Comment