Thursday, January 19, 2012

Yunus resah prestasi longlai Simukonda


Pemain T-Team, Mohd. Faiz Subri (tengah) melepaskan rembatan sambil diasak tiga pertahanan Sabah pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

KUALA TERENGGANU - T-Team lega apabila mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan Liga Super walaupun mengutip satu mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Sabah kelmarin.



Lebih membanggakan, keputusan tersebut membolehkan pasukan berstatus kelab itu mengekalkan tangga teratas liga, namun diekori Kelantan yang berkongsi tujuh mata.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, dia memang menyasarkan mata penuh ketika menentang Sabah.

"Sabah juga melancarkan serangan balas sehingga pemain kita hilang kawalan selain gagal menyudahkan hantaran dengan baik," katanya di sini kelmarin.

Pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah itu, Zacharia Simukonda mempersiakan dua peluang gol terbaik apabila melepaskan sepakan lemah pada babak pertama.

Aksi hambar dan hujan menjejaskan rentak permainan sehingga T-Team dikejutkan dengan cubaan pasukan pelawat menerusi Bobby Gonzales pada minit ke-74 yang hampir memberikan gol kepada Sabah.

Gandingan penyerang import, Zacharia Simukonda dengan Fadzli Shaari bagai ada yang tidak kena pada aksi kelmarin.

Ketika dilontarkan soalan mengenai prestasi Simukonda, Yunus mengakui dia kecewa dengan prestasi pemain import dari Zambia itu.

"Memang malam ini dia (Simukonda) bermain teruk dan kita tidak tahu dimana silapnya sedangkan banyak bola yang dihantar kepadanya namun dia seolah-olah hilang arah, '' ujarnya.

Untuk perlawanan seterusnya, T-Team bakal bertembung dengan 'abang' sendiri, Terengganu dan akui Yunus, anak didiknya pasti bersedia dan berusaha untuk bangkit semula dan mengumpul lebih banyak mata.

"Bagi perlawanan adik abang ini nanti, kita akan tengoklah sama ada perlu buat perubahan atau tidak," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...