Saturday, January 14, 2012

Tak ambil kesempatan


Harian Metro

JUARA bertahan, Kelantan gagal meneruskan rentak kemenangan apabila terpaksa berpuas hati meraih satu mata selepas diikat PKNS FC 1-1 di laman sendiri.


Beraksi di laman sendiri, Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan yang turun menentang PKNS FC mendapat sokongan kira-kira 10,000 menyokong The Red Warriors gagal memecah kebuntuan pada babak pertama walaupun dihidang beberapa peluang untuk membuka jaringan terutamanya menerusi penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha.

Tindakan pengendali Kelantan, Peter James Butler yang merehatkan beberapa pemain utama seperti Indra Putra Mahayuddin, Norfarhan Muhammad, Muhammad Ghaddar selain penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat dilihat memberi kesan kepada corak permainan Kelantan.




Sebaliknya pelawat yang dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim turut dihidangkan beberapa peluang untuk membuka jaringan namun turut gagal menembusi gawang Kelantan yang dikawal Muhamad Syazwan Yusof.

Namun tindakan Butler memasukkan Indra Putra dan Norfarhan awal babak kedua berjaya mengubah rentak permainan Kelantan yang menggandakan serangan bagi memastikan tiga mata berada dalam genggaman selepas menewaskan Lions XII di Stadium Jalan Besar pada Selasa lalu.


Selepas melakukan serangan bertali arus, kapten Kelantan, Mohd Badri Radzi akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-71 dengan menanduk masuk bola sepakan penjuru selepas penjaga gol PKNS FC, Razi Effendi Suhit gagal menangkap kemas bola apabila diasak pemain gantian, Muhammad Ghaddar dalam kotak penalti.



Gol terbabit hanya bertahan sehingga minit ke-79 apabila pelawat menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Mohd Fauzan Dzulkifli selepas Rudie Ramli dijatuhkan Muhamad Syazwan akibat kesilapan hantaran ke belakang pemain pertahanan, S Subramaniam untuk membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...