KETUA jurulatih Kelantan, Peter James Butler tidak mahu keciciran mata ketika melayan pasukan Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Jurulatih berusia 46 tahun dari England itu tidak mahu anak buahnya mempersia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi memburu tiga mata sekali gus mengukuhkan cengkaman takhta Liga Super.
Butler turut yakin ‘ayam tambatan’ Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Yo mampu meneruskan aksi cemerlang untuk meledak jaringan.
Tanpa meragui kemampuan kesebelasan utama yang bakal diturunkan malam ini, Butler optimis anak buahnya mampu mengulangi kejayaan mengalahkan Johor FC dan Kedah sebelum ini.
“Saya tahu Mat Yo bagus dan selalu kerja keras, malah setakat ini dia penyerang terbaik Kelantan dan saya harap dia boleh menjaringkan gol malam esok (ini).
“Kami mempunyai rehat mencukupi, malah mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri dan berharap pemain mempamerkan aksi terbaik mengutip tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan selesa carta liga,” katanya.
Ketika ditanya mengenai keserasian Norshahrul bersama penyerang import, Mohammed Ghaddar, Butler mengaku kedua-dua pemain terbabit masih mempunyai masalah komunikasi kerana pemain dari Lubnan itu tidak fasih berbahasa Inggeris.
Bagaimanapun, masalah itu bukan satu kelemahan bagi pasukannya, malah mengharapkan jentera serangan mampu menggegar gawang Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment