Saturday, January 28, 2012

Debaran Kedah, Johor FC di Stadium Darul Aman


Kekecohan di luar Stadium Darul Aman baru-baru apabila sekumpulan penyokong mendesak pengurus Kedah, Khazali Din (tengah) meletak jawatan selepas skuad kenari kalah 3-0 kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super.

ALOR SETAR – Selepas dihimpit tekanan akibat gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan Liga Super, persembahan di atas padang dan reaksi penyokong Kedah bakal menjadi tumpuan pada pertemuan menentang Johor FC di Stadium Darul Aman, hari ini.



Meskipun Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) meminta penyokong tidak panik dan memberi peluang kepada skuad Kenari memperbaiki prestasi, satu hakikat yang tidak dapat dielakkan adalah tekanan akan terus memuncak jika keputusan perlawanan hari ini tidak memihak kepada skuad Hijau Kuning.

Mengambil kira keadaan semasa, keputusan perlawanan hari ini akan menjadi penentu sama ada ia meredakan tekanan yang dihadapi Kedah, atau sebaliknya.
Perlawanan antara kedua-dua buah pasukan tambah menarik dan mendebarkan kerana Kedah dan Johor FC masing-masing terdesak memerlukan kemenangan, untuk keluar daripada zon penyingkiran.

Sebelum ini, segelintir penyokong Kedah mahu KFA bertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi skuad Kenari selain desakan agar pengurus pasukan, Datuk Khazali Din berundur dari jawatannya.

Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Kedah, Nor Hasmadi Hamzah berkata, penyokong mengambil pendekatan tunggu dan lihat perkembangan pasukan mereka, khususnya keputusan perlawanan menentang skuad K. Devan, hari ini.

Katanya, jika Kedah tewas dengan persembahan buruk, dia percaya gelombang desakan peminat pasti semakin memuncak, selain bakal menyaksikan kemerosotan teruk kehadiran penonton ke Stadium Darul Aman.

“Penyokong terkilan kerana KFA gagal mendapatkan penyerang import berkualiti, seperti Marlon Alex James (kini mewakili pasukan Angkatan Tentera Malaysia), yang dilepaskan kononnya atas alasan usia serta kecederaan walaupun pemain itu dikatakan berminat menyarung jersi Kedah.

“Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan yang masih dalam penggantungan diharapkan dapat menggunakan segala pengalamannya untuk membantu kebangkitan Kenari kerana dia masih dapat memberi arahan di belakang tabir,” katanya semalam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...