Monday, January 16, 2012

Apek mahu rakan bangkit




KOTA BHARU - Penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mahu rakan sepasukan melupakan aksi kurang bertenaga ketika menerima kunjungan PNKS di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat lalu.


Khairul Fahmi, sebaliknya meminta mereka menjadikan pertemuan menentang Johor FC di laman sendiri pada Selasa ini, untuk mendapatkan tiga mata penting bagi memperbaiki kedudukan.


Menurut Khairul Fahmi, aksi bertenaga perlu dijelmakan oleh rakan sepasukan untuk memulihkan semula sokongan peminat setia The Red Warriors.


"Peluang beraksi di gelanggang sendiri perlu digunakan sebaik mungkin dan kita tidak boleh lagi kehilangan mata jika mahu mengejar pasukan di tangga teratas.


"Saingan di peringkat awal inilah perlu kita gunakan untuk mengutip seberapa banyak mata kerana kita tidak mahu berdepan kesukaran mengejar mata di penghujung liga nanti," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran syarikatnya Khairul Fahmi Resources (M) Sdn. Bhd (KFR) di Hotel Sutera Inn di sini, semalam.


Anak kelahiran Kampung Cherang, Kota Bharu itu mengakui moral rakan sepasukannya sedikit terjejas selepas mencatat keputusan seri dengan PKNS FC tempoh hari.


"Memang diakui Johor FC merupakan pasukan yang kuat tetapi saya percaya kita mampu mengalahkan mereka nanti.


"Hanya kemenangan ke atas Johor FC dilihat mampu menyuntik kembali semangat pemainThe Red Warriors bagi mengharungi perlawanan berikutnya selepas ini," ujarnya.


Sementara itu, Khairul Fahmi yang masih belum pulih daripada kecederaan ketika pertemuan pertama Liga Super menentang Lions XII di Singapura minggu lalu, berharap dapat diturunkan dalam pertemuan menentang Johor FC malam ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...