KEMELUT yang melanda Liga Super Indonesia (ISL) dan Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) benar-benar membingungkan penyerang negara, Safee Sali yang masih belum mencapai kata putus mengenai kontraknya bersama Pelita Jaya FC (PJFC) yang berakhir esok.
Pengurusnya, Zakaria Abdul Rahim menjelaskan penjaring terbanyak Piala AFF 2010 yang menyambut hari lahirnya ke-28 semalam masih menunggu maklum balas kelab ISL itu mengenai beberapa perkara yang dibangkitkan pihaknya.
“Salah satu perkara yang membuatkan lanjutan kontrak ini tertangguh adalah kepastian sebenar mengenai pergeseran antara PSSI dan ISL. Kami turut cuba mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai perkara ini termasuk mereka yang mencabar kepimpinan PSSI.
“Walau bagaimanapun, saya tidak boleh menyatakan Safee cenderung untuk menyambung kontrak atau sebaliknya kerana dia turut mendapat tawaran kelab lain. Cuma kami memberi sedikit kelebihan kepada PJFC untuk berunding kerana Safee berada di sini,” katanya ketika dihubungi petang semalam.
Menurut Zakaria lagi, sehingga kini tiada dokumen yang menyatakan Safee tidak boleh mewakili negara sekiranya ISL diharamkan.
“Dari satu segi, liga mungkin diharamkan namun pemain boleh mencari kelab lain. Namun sekiranya pemain turut diharamkan, kami perlu ada rancangan alternatif kepada perkara ini,” katanya. PSSI sebelum ini mendakwa hanya Liga Premier Indonesia (IPL) yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Konfederasi Bola Sepak Asia
Sementara itu ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal menolak andaian langkahnya tidak memanggil Safee dalam sesi latihan skuad negara yang bermula semalam adalah disebabkan perkara terbabit.
“Bukan itu sebabnya, saya sedar komitmen tingginya bersama kelab dan untuk perlawanan penting saya tetap akan memanggilnya. Sehingga kini kita masih belum mendapat apa-apa yang konkrit, saya berharap dia dan PSSI memahaminya, kalau liga terbabit haram, dia tahu apa yang perlu dilakukannya,” katanya.
Mengenai latihan pusat singkat selama enam hari yang diadakannya itu, Rajagobal menjelaskan satu perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super cuba diatur pihaknya bagi menguji kemampuan beberapa muka baru yang dipanggil.
No comments:
Post a Comment