Saturday, January 21, 2012

Serampang dua mata


Harian Metro

PEMERGIAN Muhd Ariff Zulkifly ke New Zealand bagi menjalani ujian percubaan di Akademi Bola Sepak Ole pada 1 Mac ini bakal diiringi misi serampang dua mata.







Keputusan diambil pemain berusia 19 tahun itu bukan hanya untuk mengejar cita-cita tinggi beraksi di Liga Perdana Inggeris (EPL) sebaliknya ingin membuktikan dirinya juga layak menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti.

Ini kerana walaupun Ariff pernah bergelar kapten skuad bawah 17 negara yang menjuarai Piala Presiden pada 2010, dia masih gagal menempatkan diri dalam Harimau Muda A mahupun skuad Olimpik kendalian Ong Kim Swee.




“Saya akan menggunakan peluang ini untuk memikat Pengarah Akademi Ole, Nate Winkel kerana beliau adalah ejen pemain yang mempunyai hubungan dengan kelab luar di Eropah dan Amerika Syarikat.

“Saya fikir ini jalan terbaik untuk saya beraksi di EPL kerana jika mengambil kira soal permit kerja dan ranking pasukan negara ketika ini memang susah untuk pemain negara bermain di sana,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan tajaan Mister Potato semalam.


Mister Potato menerusi Pengurus Penajaan dan Aktivasi Mamee Double Decker (M) Bhd, Sharszany Shahry Abu Shahriman menyerahkan tajaan sebanyak RM15,000 kepada Ariff bagi menampung perbelanjaan Ariff sepanjang enam minggu di New Zealand.





Ariff yang kini menjadi kapten skuad Piala Presiden Selangor berkata, dia bersedia menempuhi cabaran baru itu dalam usaha untuk bangkit semula menghidupkan karier bola sepaknya.

“Mungkin nasib saya tak sebaik pemain muda lain yang berpeluang beraksi dengan skuad kebangsaan tapi ini langsung tidak mematahkan semangat saya untuk bangkit membuktikan kemampuan kepada jurulatih Ong Kim Swee,” katanya yang beraksi di posisi pertahanan tengah.




Sementara itu, kesediaan Mister Potato untuk menanggung kos Ariff di New Zealand sebagai usaha syarikat itu membantu pemain muda merealisasikan impian mereka.

“Ini sebagai satu langkah permulaan buat Ariff namun kami berharap dia dapat menjadi sumber inspirasi kepada pemain-pemain muda di luar sana untuk tampil berani mengejar cita-cita demi meningkatkan lagi mutu bola sepak tanah air,” kata Sharszany.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...