Lelo Mbele dipilih mewakili Selangor hanya berdasarkan aksi menerusi rakaman video tanpa melalui ujian pemilihan. |
KUALA LUMPUR - Khidmat bintang import dari Congo, Lelo Mbele dijangka ditamatkan lebih awal selepas jurulatih Selangor, Irfan Bakti, mendapati persembahan pemain berumur 24 tahun itu gagal menepati jangkaan.
Irfan mendedahkan, Mbele sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan paha kiri namun kecederaan lama yang dialami pemain itu banyak mengganggu persembahannya sehingga tidak mampu lagi beraksi sebaik mungkin.
"Bukan masalah kecergasan yang menjadi isu. Masalahnya dia tidak lagi mampu memberi persembahan seperti mana yang diharapkan.
"Saya fikir amat sukar untuk dia beraksi seperti mana yang kita mahukan. Dijangka pihak pengurusan akan menamatkan kontraknya walaupun buat masa ini kami belum lagi menghantar dia pulang.
"Dalam masa sama, pihak pengurusan juga sedang mengintai untuk mendapatkan pemain import baru. Kalau boleh kami mahu seorang penyerang yang mampu menjadi penjaring gol, " katanya.
Mbele mendapat perhatian para peminat kerana diambil mewakili Selangor hanya berdasarkan aksinya dalam rakaman video tanpa melalui ujian pemilihan biarpun masih dalam kecederaan.
Dia pernah mewakili kelab Arab Saudi, Al-Hilal dan kelab Afrika Selatan, Orlando Pirates sebelum mendapat kecederaan serius ketika Al-Nasr Benganzi musim lalu.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melonggarkan syarat pendaftaran pemain import, di mana pasukan boleh mengambil pemain baru sehingga 13 Februari depan.
Selain itu, Irfan dalam masa sama mengakui kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Felda United kelmarin.
Dia menyifatkan barisan serangan yang tumpul, meranapkan peluang mereka bergelar pemenang dalam aksi pada sebelah petang di Stadium Hang Jebat, Melaka.
"Pemain perlu mengambil iktibar atas kekalahan ini. Jika para pemain mampu menyempurnakan peluang-peluang gol yang terhidang pada separuh masa pertama, kami boleh menang.
"Sedangkan pihak lawan hanya meraih satu peluang gol dan berjaya memanfaatkannya sehingga ia menjadi gol kemenangan mereka.
"Walaupun kalah, saya tidak begitu bimbang kerana saingan liga masih panjang. Cuma saya harap pemain dapat," katanya ketika dihubungi, semalam.
No comments:
Post a Comment