BEKAS penyerang sensasi Singapura, Fandi Ahmad mengesahkan status selaku penasihat teknikal Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) selepas mengikat kontrak selama tiga tahun berkuat kuasa, 2 Februari ini.
Bintang skuad Singa itu berkata, segala urusan pelantikan sudah di buat dan akan memulakan tugas bergandingan bersama jurulatih K Sukumaran untuk membimbing skuad Jengking membuat persiapan menghadapi Pahang, 7 Februari ini.
“Saya akan memulakan tugas secara rasmi pada 2 Februari ini dan pada masa yang sama akan membawa pemain import, Francisco Rocha Da Silva dari Brazil yang pernah beraksi di Liga Divisyen Satu, Hungary.
“Mungkin saya tidak meletakkan sasaran tinggi pada musim ini kerana pemain sedia ada harus dibentuk dengan lebih mantap namun kita akan cuba kerana rezeki sentiasa berada di mana sahaja.
“Tugas pertama saya pasti bersama Sukumaran membuat persiapan menentang Pahang dan rehat yang agak panjang memberi peluang untuk saya mengenali lebih rapat dengan pemain dan kenal pasti corak permainan mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Fandi menegaskan musim ini, komitmen bersama skuad Jengking kemungkinan agak terbatas berikutan beberapa tugasan yang perlu diselesaikan di Singapura terutama Akademi Bola Sepak yang ditubuhnya serta program mencari bakat baru.
Beliau akan berusaha untuk sentiasa bersama skuad Johor dalam setiap sesi latihan yang diadakan dan tugasan untuk memantapkan lagi barisan pemain berdepan tugas rumit menentang dua pasukan teratas, Pahang dan Tentera sememangnya diambil berat.
“Saya yakin rakan jurulatih seperti Ahmad Hassan, Wan Mustaffa Wan Ismail dan Omar Salim akan turut membantu bagi memastikan setiap perlawanan yang diharungi Johor mampu menerbitkan kemenangan,” kata Fandi.
No comments:
Post a Comment