KOTA BHARU - Penggempur import Kelantan, Mohammad Ghaddar mahu mempamerkan ketajaman penyudah selepas hanya mampu menjaringkan gol melalui sepakan penalti selepas empat perlawanan Liga Super.
Penyerang kelahiran Beriut, Lebanon itu berkata, dia mahu membuktikan kemampuannya sebagai pemain import dengan melakukan jaringan padang, bukannya melalui sepakan penalti.
"Dua gol yang dijaringkan sebelum ini semuanya menerusi sepakan penalti. Begitupun jaringan tersebut amat penting buat saya untuk mendapatkan sentuhan sebagai seorang penyerang.
"Kegagalan menjaringkan gol sememangnya memberikan sedikit tekanan buat saya. Namun kegagalan tersebut membuatkan saya lebih bersemangat untuk menjaringkan lebih banyak gol seterusnya membuktikan kemampuan sebenar," katanya ketika di temui di sini semalam.
Penyerang berusia 27 tahun itu, yang hanya tahu bertutur dalam bahasa Arab mengakui masalah bahasa menghalang persefahaman dia dan rakan-rakan sepasukan.
"Masalah bahasa memang menganggu komunikasi saya dan rakan-rakan. Ia cabaran yang perlu di atasi.
"Kedatangan saya ke bumi Kelantan adalah untuk membantu pasukan meraih kejayaan dan menggembirakan peminat setia Red Warriors," ujarnya.
Mengulas perlawanan menentang Kuala Lumpur esok, Ghaddar berjanji akan mempamerkan aksi terbaik dan memastikan pasukannya mendapat tiga mata.
"Kemenangan perlu diraih dalam perlawanan selepas ini dan Kelantan tidak boleh keciciran mata lagi.
"Saya gembira dapat bergandingan dengan Mat Yo (Norshahrul Idlan Tahala).
"Dia seorang pemain yang bagus dan saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menjadi gandingan terbaik bersamanya," katanya.
No comments:
Post a Comment