Tuesday, January 17, 2012

Nanti awang import baru


Harian Metro

KEHADIRAN penyerang import baru amat dinantikan Selangor bagi memastikan rentak kemenangan dan ketajaman jentera serangan dapat diteruskan dalam saingan Liga Super.


Kapten Merah Kuning, Mohd Amri Yahyah menyambut baik perkara itu bagi membolehkan mereka bersaing dengan pasukan lain terutamanya yang menggunakan kudrat pemain import sebagai penyerang utama.

“Kehadiran penyerang import penting kerana pasukan lain turut menggunakan ia sebagai satu aset. Ia penting agar dapat memberi keseimbangan kepada jentera serangan, tengah dan pertahanan supaya tidak terlalu bergantung kepada satu bahagian saja,” katanya.




Pemain tengah Selangor yang kini menjadi peneraju di jentera serangan itu berkata demikian selepas ditanya mengenai kemungkinan besar kehadiran muka baru bagi menggantikan khidmat penyerang import dari Congo, Lelo Mbele bagi menambahkan sengat Merah Kuning yang mensasarkan satu piala musim ini.

Ketumpulan jentera serangan Selangor terserlah apabila hanya mampu mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak selain terpaksa bangkit selepas ketinggalan dua gol bagi mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Negeri Sembilan dalam aksi pembukaan.


“Saya sebenarnya tidak merasakan beban untuk mengetuai jentera serangan kerana dapat bergilir-gilir dengan pemain tengah yang lain seperti Mohd Safiq (Rahim) dan Mohd Amirulhadi (Zainal, gambar) untuk mengetuai jentera serangan dan semuanya mampu menjaringkan gol,” katanya.





Namun pemain berpengalaman yang mewakili Selangor sejak 2001 enggan menjadikan ketiadaan penyerang import sebagai alasan untuk tidak mencipta kemenangan apabila menentang Felda United di Stadium Hang Jebat, petang ini.

“Cuaca mungkin sedikit mengganggu namun kemenangan perlu terus dicipta. Kami tidak seharusnya terlalu yakin walaupun lawan turun dengan keseluruhan pemain tempatan, perlu ada sikap berhati-hati,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...