SEREMBAN - Gara-gara hilang rentak, skuad Hoben Jang Hoben hanya berkongsi satu mata selepas Selangor berjaya mengikat keputusan seri 2-2 pada perlawanan sulung Liga Super mereka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Apa tidaknya, pada 45 minit pertama perlawanan, tuan rumah beraksi garang mendahului Red Giants dengan kelebihan dua gol menerusi pemain import Jean-Emmanuel Effa Owona seawal minit keempat sebelum pemain dari Cameroon itu sekali lagi menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-35.
Namun, pada babak kedua permainan, Negeri Sembilan bagaikan hilang punca apabila Selangor melakukan asakan bertubi-tubi sehingga berjaya memperoleh gol pertama hasil rembatan kencang Amirulhadi Zainal pada minit ke-66.
Harapan Negeri Sembilan untuk mengutip tiga mata pertama mereka pada perlawanan sulung liga ini berkecai apabila pasukan lawan dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Safiq Rahim pada minit ke-73.
Menurut ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Azraai Khor Abdullah yang turut mengakui perkara itu, pada separuh masa pertama pemain bermain cemerlang, namun pada aksi kedua mereka dilihat hilang rentak dan tidak konsisten terutamanya di bahagian tengah.
"Akhirnya kita terpaksa akur berkongsi mata, tetapi saya melihat keputusan ini dari sudut positif dan mengambil iktibar kerana rata-rata pemain Negeri Sembilan adalah baru berbanding Selangor pasukan yang mantap dan berpengalaman," katanya di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Azraai Khor berkata, perlawanan sulung itu memberinya satu 'tugasan baru' untuk mengkaji dalam usaha memperbaiki prestasi kesemua pemain.
"Ini perlawanan pertama, sekurang-kurangnya kita dapat belajar dan memperbetulkan kelemahan. Perjalanan liga masih panjang tidak sampai untuk kita tekan 'panic button'.
"Memang diakui ketiadaan pemain senior seperti Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim yang masih dibelenggu kecederaan memberi kesan kepada corak permainan," katanya.
No comments:
Post a Comment