Saturday, January 14, 2012

Dayoub, Ghaddar sah layak beraksi


Harian Metro

PEMAIN import kontroversi Selangor, Ramez Dayoub dan Mohammed Ghaddar dari Kelantan layak beraksi dalam Liga Malaysia 2012 (Liga-M) selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelaskan sudah membuat pindaan terhadap peraturan pengambilan pemain import Disember lalu.


Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Jawatankuasa Vetting (Jawatankuasa Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan FAM) yang dipengerusi Tan Sri Aseh Che Mat membuat ketetapan menukar tarikh rujukan ranking negara pemain import daripada 24 Ogos 2011 kepada 23 November 2011.

“Pada asalnya tarikh rujukan ranking negara pemain import itu pada 24 Ogos 2011 tapi Jawatankuasa Vetting bersidang pada 22 Disember lalu dan memutuskan untuk meminda kepada 23 November kerana berasa ia tarikh terkini ranking dunia Fifa.




“Memang betul pemain yang beraksi dalam mana-mana liga di Asean perlu mematuhi ‘cooling period’ selama dua tahun tapi selepas pindaan tarikh itu, Lubnan menduduki ranking lebih baik iaitu di tangga ke-111 pada November berbanding Malaysia (155).

“Perkara ini sebenarnya sudah dimaklumkan kepada semua pasukan pada taklimat lalu dan juga buku manual Liga-M 2012,” katanya kepada pemberita pada sidang selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM semalam.


Dayoub sebelum ini tidak layak beraksi kerana bersama kelab Myanmar, Magway pada 2011 dan tidak melalui tempoh ‘cooling period’.




Malah jika dirujuk pada perkara 5.3 peraturan FAM, pemain Lubnan itu tidak menepati piawaian kerana ranking Lubnan pada 24 Ogos 2011 lebih rendah iaitu di tangga ke-160 berbanding Malaysia, ke-146.

Bagaimanapun Ghaddar pula sebenarnya ‘bersih’ kerana tidak tertakluk kepada perkara 5.3 memandangkan dia beraksi dalam liga divisyen satu Asia bersama kelab Al-Jaish dari Syria.




Apapun yang menjadi persoalan adalah tindakan Jawatankuasa Vetting itu yang hanya membuat pindaan selepas tarikh pendaftaran pemain import berakhir 8 Disember lalu.

Namun Azzuddin menegaskan, keputusan Jawatankuasa Vetting tidak dipengaruhi mana-mana pihak.


“Jawatankuasa Vetting bebas daripada sebarang kepentingan kerana mereka yang berada dalam jawatankuasa ini orang luar FAM seperti dari SPRM, Polis, pegawai kanan kerajaan dan ia dipengerusi Tan Sri Aseh Che Mat,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...