Thursday, January 12, 2012

Irfan cetus kebangkitan ikat Negeri Sembilan



Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMINKUALA LUMPUR - Kata-kata azimat jurulatih, Irfan Bakti menjadi tonik kebangkitan Selangor yang berjaya bangkit daripada ketinggalan bagi mengikat juara Piala Sultan Ahmad Shah, Negeri Sembilan 2-2 dalam pertemuan sulung Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Ketua pasukan Selangor, Mohd. Amri Yahyah menjelaskan, perwatakan Irfan yang tidak cepat menghukum rakan-rakan sepasukannya walaupun gagal bermain kurang baik pada separuh masa pertama ternyata memberikan nafas baru kepada persembahan Selangor pada 45 minit terakhir permainan.

''Pada masa di bilik persalinan, jurulatih (Irfan) memberikan pesanan ringkas sahaja kepada kami iaitu lupakan sahaja apa yang berlaku pada separuh masa pertama dan jangan cepat mahu mengalah kerana masih ada 45 minit.

''Bermula separuh masa kedua, dia mahu kami menampilkan corak berbeza dan berfikir positif bahawa kami mampu menyaingi lawan biarpun telah ketinggalan dua jaringan.

''Walaupun tidak banyak apa yang dia perkatakan oleh jurulatih, namun apa yang dikatakannya itu memberikan kesan kepada persembahan kami pada separuh masa kedua kerana kami dapat bangkit pada separuh masa kedua.

''Semangat berpasukan yang tidak kenal erti putus asa juga menyumbang kepada kejayaan kami mengikat Negeri Sembilan , walaupun satu mata, saya dan rakan-rakan tetap puas hati kerana bermain di tempat lawan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Biarpun tersentak dengan dua gol awal melalui pemain import, Jean-Emmanuel Effa Owona pada minit ke-4 dan 34, Selangor masih mampu bernyawa apabila Amirulhadi Zainal menghadirkan gol pencetus semangat pada minit ke-66.

Safiq Rahim muncul wira Red Giantas apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-73 menerusi sepakan penalti selepas Shahurain Abu Saman menolak Solehin Kanasian Abdullah dalam kotak penalti.

Jelas Amri lagi, perubahan taktikal pada separuh masa kedua apabila Irfan memasukkan R. Surendran ternyata memberi banyak manfaat kepada corak serangan pasukan kerana dia telah diberikan kawalan ketat oleh pertahanan Negeri Sembilan.

"Kehadiran Surendran dan meletakkan Amirulhadi lebih banyak bergerak di bahagian dalam banyak mengkucar-kacirkan pertahanan lawan pada separuh masa kedua.

"Saya juga mendapat ruang mengatur serangan apabila jurulatih meletakkan saya di bahagian kanan, ia memang berhasil dan menjadi punca mengapa kami dapat tampilkan rentak berbeza pada separuh masa kedua," katanya.
Perak yang masih segar dengan kejayaan menumbangkan juara Piala FA, Terengganu 1-0 di tempat sendiri akan menjadi lawan kedua Selangor di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...