Thursday, January 26, 2012

Bekamenga pilihan Johor FC


Harian Metro

BEKAS pemain import Negeri Sembilan, Christian Bekamenga menjadi calon utama Johor FC untuk mengemudi jentera serangan skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Super, musim ini.


Bekamenga yang pernah beraksi bersama kelab FC Nantes Liga Perancis (Ligue 1) dan kini beraksi di Liga Greece bersama Skoda Xanthi FC secara pinjaman dikhabarkan bersetuju menyarung jersi skuad bergelar Lebah itu dan dijangka tiba dalam tempoh terdekat.

Dia pernah beraksi untuk Negeri Sembilan pada musim 2004 hingga 2007 di bawah kendalian jurulatih K Devan sebelum berhijrah ke kelab Persib Bandung untuk menyertai Liga Super Indonesia dan pastinya kehadirannya bakal mempertajamkan lagi barisan serangan Johor FC.




Pengurus pasukan, Wan Nizam Wan Omar bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata, proses mendapatkan pemain dari Cameroon itu berada di fasa terakhir.

Katanya, buat masa ini pemain kebangsaan Kenya, Pascal Ochieng dilihat calon pertama untuk beraksi bersama Johor FC bagi menguatkan benteng pertahanan.


“Ketika aksi persahabatan menentang MBJB FC, kelmarin corak permainannya masih belum mantap selepas baru tiba dari Kenya dan saya akan lihat sehari dua lagi sebelum membuat keputusan.




“Mengenai pemain import kedua, segala urusan kini dibuat dan kami cuba menyelesaikan kontraknya secepat mungkin supaya dia dapat beraksi menentang Kedah, Sabtu ini,” katanya.

Selain itu, pemain kebangsaan Angola, Frederico Castro Roque dos Santos turut menjadi pilihan skuad Lebah bagi menggantikan dua pemain import dari Brazil, Tito Da Silva dan Tiaga Leal yang dilarang Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) daripada beraksi kerana tidak mengikut syarat ditetapkan.




“Pengambilan pemain import kali ini dibuat lebih teliti kerana saya akan mendapatkan maklumat terperinci pemain sebelum memanggil mereka menjalani latihan. Apapun saya puas hati dengan komitmen diberikan ejen yang mengendalikan urusan pengambilan pemain import,” kata Wan Nizam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...