Monday, January 16, 2012

Aidil ingin ATM terus kebal


PETALING JAYA - Pemain pertahanan ATM, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak tekad untuk terus menjadikan pasukannya kebal dibolosi gol pihak lawan pada perlawanan hari ini menentang Harimau Muda B di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya.

Malah, itu juga adalah sebahagian daripada azam Mohd. Aidil pada musim ini bagi memastikan pasukannya mampu berada di tangga teratas Liga Perdana.

Katanya, perlawanan pada hari ini dijangka berlangsung sengit kerana pasukan Harimau Muda B juga sudah tentu mahukan kemenangan pada perlawanan ketiga selepas gagal meraih sebarang mata pada dua perlawanan sebelum ini.

"Ini masih awal lagi buat kami kerana baru dua perlawanan telah berlangsung dan sudah tentu misi kami adalah untuk mempertahankan kemenangan yang diperolehi ini.

"Sepanjang dua perlawanan kita tidak dibolosi oleh gol pihak lawan dan ia sudah menunjukkan bahawa pertahanan kita telah berada di tahap terbaik," katanya kepada pemberita pada majlis Hari Media bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini, semalam.

Pada perlawanan pertama Liga Perdana, Isnin lalu skuad bimbingan B. Sathianathan berjaya menundukkan NS Betaria dengan keputusan 2-0.

Terbaru, Jumaat lalu ATM sekali lagi memperoleh kemenangan dengan berpesta gol 5-0 menundukkan MBJB di Stadium Sultan Ibrahim Muar.

Sementara itu, Mohd. Aidil berkata, pasukannya tidak boleh terlalu mendabik dada pada pertemuan hari ini kerana pasukan Harimau Muda B dijangka akan melakukan beberapa pertukaran taktikal.

"Kita perlu berjaga-jaga dan saya akan cuba melakukan tugas dengan baik untuk setiap perlawanan yang dihadapi ATM.

"Perlawanan menentang Harimau Muda B tidak boleh diambil mudah meskipun kita pernah bertemu mereka dalam perlawanan persahabatan," kata Mohd. Aidil.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...