BIARPUN masih gagal mencapai tahap diinginkan dalam tiga perlawanan setakat ini, jurulatih Pahang, Dollah Salleh percaya pemain import dari Ghana, Nana Yaw pasti menyerlah pada perlawanan akan datang.
Dollah berkata, prestasi Yaw kini sudah meningkat malah turut menunjukkan keserasiannya dengan pemain lain di bahagian serangan.
Menurutnya, biarpun hanya menjaringkan satu gol ketika Pahang mencatat kemenangan 4-0 ke atas Harimau Muda B, persembahan penyerang import itu harus dipuji.
“Saya perhatikan Yaw semakin bersemangat dan berjaya membantu pasukan memperkasakan jentera serangan. Pada tiga perlawanan lalu, dia turut membantu sebagai perancang.
“Oleh itu, saya harap Yaw akan bermain lebih baik dalam usaha mengukuhkan lagi Pahang pada saingan Liga Perdana,” katanya semalam.
Yaw adalah bekas pemain skuad Bawah 23 Tahun Ghana dan Aduanna FC yang beraksi dalam saingan Divisyen Satu Liga Ghana.
Bagi memantapkan skuad itu, Dollah mahu semua pemain mengekalkan prestasi seperti yang dipersembahkan pada tiga perlawanan lalu.
“Saya kini gembira dengan sentuhan jaringan yang bukan saja dilakukan jentera serangan, malah jentera tengah dan pertahanan mampu melakukannya. “Semua pemain sudah mula mempamerkan peningkatan seperti yang diinginkan. Perkara yang menarik perhatian saya ialah skuad ini tidak terlalu bergantung kepada penyerang untuk menjaringkan gol,” katanya.
No comments:
Post a Comment