Monday, January 30, 2012

T-Team tumpul, kurang berkesan



KUALA TERENGGANU - Sentuhan penyudah yang tumpul dan kurang berkesan memusnahkan impian T-Team untuk melebarkan rekod kemenangan mereka ke atas Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.




Hakikat itu diakui pengendalinya, Yunus Alif yang nyata kurang berpuas hati dengan persembahan kurang bertenaga yang dipamerkan anak-anak buahnya itu.

Menurut Yunus, jentera serangan T-Team yang diterajui Fazdli Shaari dan Zacharia Simukonda juga mudah hilang tumpuan walaupun memiliki deretan peluang yang terhidang untuk disempurnakan.

"Secara keseluruhannya, pemain kita main tak 'pressure' lawan dan banyak beri ruang kepada Selangor untuk menyusup masuk.

"Bagaimanapun, kita akan atasi masalah ini dan saya percaya T-Team mampu bangkit dalam perlawanan akan datang," katanya.

Dalam perlawanan kelmarin, Selangor berjaya menamatkan badi empat kekalahan ke atas T-Team pada musim lalu apabila menang 2-1.

Red Giants mendahului pada minit ke-35 hasil sepakan penalti Ramez Jamal 
Dayoub, namun Zairo Anuar Zailani bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-48 juga menerusi sepakan penalti.

Azidan Sarudin kemudian muncul wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-77.

Dalam pada itu, Yunus masih berteka-teki mengenai kedudukan Simukonda dalam pasukan ekoran aksi longlai yang dipamerkan bekas penyerang import Perlis itu sebelum ini.

"Saya nampak dia (Simukonda) hari ni memang telah berusaha sebaik mungkin, namun masalah kecederaan menghalangnya untuk mempamerkan aksi terbaik.

"Kita akan periksa (kecederaan) dia esok (hari ini) dan kalau serius, memang kita tak boleh tunggu masa yang lama dan kita akan buat sesuatu.

"Apapun kita akan tunggu laporan doktor yang merawat dia, berapa lama masa yang diambil untuk kembali pulih," ujarnya.

Simukonda yang setakat ini baru menjaringkan satu gol daripada lima perlawanan Liga Super pernah diberi amaran oleh pengurusan supaya meningkatkan tahap permainan bagi mengelakkan tindakan drastik diambil terhadap pemain kelahiran Zambia itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...