Wednesday, January 25, 2012

Doe belum pamer belang sebenar



Add caption
KUALA LUMPUR - Baru sahaja diturunkan dalam dua perlawanan, namun penyerang import Terengganu, Francis Doe Forkey sudah memberi bayangan yang dia bakal mengganas dalam saingan Liga Malaysia, musim ini.

Menjadi penentu kepada dua kemenangan yang dilakar skuad Penyu ketika menang 1-0 ke atas Sarawak dan 2-1 berdepan T-Team, kelincahan Francis dengan menjaringkan tiga gol dalam perlawanan itu nyata perlu diberi perhatian oleh pasukan yang berhajat untuk menyaingi Terengganu pada musim ini.

Bertambah menarik, jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris mendedahkan, penyerang yang pernah bermain bersama kelab Al-Ahly dan New York Red Bulls itu sebenarnya belum pulih 100 peratus daripada kecederaan lama.

''Francis sebenarnya belum pamer aksi terbaik kerana masih cedera di buku lali dan sebenarnya boleh memberikan yang lebih baik berbanding dua perlawanan terdahulu.

''Namun, saya cukup berpuas hati kerana walaupun masih dihantui kecederaan, dia sudah boleh menjaringkan tiga gol dan membantu pasukan meraih kemenangan.

''Dia memang seorang pemain yang bagus serta bijak mencari ruang dalam usaha mendapatkan jaringan. Saya harapkan lebih banyak yang dia mampu berikan kepada pasukan.

''Memandangkan aksinya dalam perlawanan sebelum ini, saya jangka pertahanan lawan sudah pasti akan memberikan perhatian yang lebih kepada Francis dalam perlawanan akan datang, " katanya yang dihubungi, semalam.
Seorang lagi pemain import Terengganu adalah pemain dari Brazil, Erison da Silva Santos yang beraksi di bahagian tengah.

Namun, kehadiran Doe membuatkan Terengganu perlu membayar harga mahal kerana perlu mengorbankan tempat penyerang kebangsaan, Abdul Hadi Yahaya dalam kesebelasan utama.

''Saya terpaksa mengetepikan Abdul Hadi dan memberi ruang kepada Francis untuk digandingkan dengan Abdul Manaf yang menjadi gandingan pilihan saya.

''Bukan bermaksud Abdul Hadi tidak bagus tetapi saya perlu memilih terbaik daripada yang baik. Begitupun, Abdul Hadi saya ada masukkan juga selaku pemain gantian dan memandangkan liga masih panjang, dia perlu bersiap sedia apa jua kemungkinan untuk diturunkan, " katanya.

Menjelang pertemuan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Sabtu ini, Mat Zan tidak menafikan penggunaan padang tiruan mungkin memberi sedikit masalah, namun tidak mahu menjadikan itu masalah besar.

''Ada sesetengah pemain dalam skuad ini pernah bermain di sana dan harap mereka dapat membantu rakan sepasukan menyesuaikan diri dengan permukaan padang.

''Kami mahu mahu meneruskan rekod kemenangan yang kami perolehi dalam tiga perlawanan terakhir dan berharap mampu mengekalkan aksi konsisten sehingga hujung saingan liga, " katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...