HAMIDIN (kiri) berjanji akan memberikan reaksi berhubung desakan PBSNT itu dalam masa terdekat. |
“SAYA akan memberikan komen mengenai perkara itu tetapi bukan sekarang.
Demikian respons ringkas Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang jelas ‘mengunci mulut’ berhubung desakan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) yang menggesa beliau supaya segera memohon maaf secara terbuka kepada persatuan itu.
Menurut Hamidin, beliau akan memberikan reaksi terhadap gesaan PBSNT itu dalam masa terdekat.
“Tunggulah dalam sehari dua, nanti saya akan komen,” katanya ringkas sebelum enggan mengulas lanjut kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! semalam melaporkan mengenai gesaan PBSNT menerusi Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh yang mahukan Hamidin segera membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kekeliruan pendaftaran pemain import yang dihadapi Sang Penyu menjelang saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2012.
Ia ekoran pelbagai tohmahan yang terpaksa diterima PBSNT sebelum ini gara-gara didakwa tidak memahami surat pekeliling yang dikeluarkan FAM berhubung isu tersebut, sedangkan ia sebenarnya dikatakan berpunca dari kesilapan teknikal oleh FAM sendiri.
Dalam surat pekeliling itu, Terengganu dibenarkan mendaftarkan pemain import bagi Liga-M 2012 sehingga hari ini, namun FAM kemudiannya menjelaskan bahawa pendaftaran pemain itu hanya sah bagi kempen Piala AFC semata-mata.
Rentetan daripada kekeliruan itu, Sang Penyu akhirnya ‘kempunan’ bagi mendapatkan khidmat Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.
Ia gara-gara pendaftaran pemain import telahpun ditutup Disember lepas dan hanya kembali dibuka pertengahan April depan.
Ternyata, ‘rajuk’ PBSNT yang menanggung malu akibat perkara itu terlalu sukar untuk ‘dipujuk’ meskipun FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad telahpun memohon maaf berhubung insiden itu.
Sebaik-baiknya, kedua-dua pihak dilihat haruslah ‘membuang yang keruh dan ambillah yang jernih’.
No comments:
Post a Comment