Monday, January 9, 2012

Butler perlu magis hadapi Lions


Harian Metro

HIMPUNAN pemain bintang dalam skuad Kelantan perlu bekerja lebih keras seandainya tidak mahu terus ditimpa malang apabila menentang pendatang baru Liga Super, Lions XII, malam esok.


Persembahan skuad kendalian Peter James Butler itu bakal menjadi kayu pengukur kepada pasukan tempatan lain dalam Liga Super berhubung kekuatan sebenar lawan berstatus ‘skuad kebangsaan Singapura’ selain beraksi di Stadium Jalan Besar yang menggunakan rumput tiruan.

Atas alasan itu, Kelantan menjalani latihan di padang yang sama di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil bagi membolehkan pemainnya menyesuaikan diri apabila turun beraksi dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2012 itu.




Selain itu, bekas pemain West Ham United yang kembali diberi kepercayaan mengendali semula The Red Warriors musim ini perlu mengatasi beberapa masalah membelenggu mereka sehingga gagal mempertahankan Piala Sultan Ahmad Shah apabila tewas 1-2 kepada Negeri Sembilan, malam kelmarin.

Strateginya mengharapkan gandingan tiga penyerang diketuai penjaring gol tunggal Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha serta dua pemain import, Muhamad Ghadar (Lebanon) dan Antwi Dennis Agyare (Ghana) belum mencapai tahap memuaskan terutamanya komunikasi ketika melancarkan serangan.


Malah jentera tengah yang dikemudi Mohd Shakir Shaari, Indra Putra Mahayuddin serta Norfarhan Mohamad dilihat masih memerlukan masa selain insiden kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi yang masuk pada babak kedua namun enggan mengambil lilitan tangan diberikan Mohd Shakir yang dilantik mengetuai pasukan pada perlawanan itu.




Butler berdepan masalah apabila tonggak pertahanan tengahnya, Azizi Mat Rose dijangka tersisih beberapa minggu kerana kecederaan sekali gus merencatkan persiapan ke Stadium Jalan Besar menentang skuad kendalian V Sundramoorthy nanti.

“Sudah pasti ada perubahan kerana kecederaan ini. Barisan pertahanan juga melakukan banyak kesilapan namun saya tidak mahu memberikan sebarang alasan walaupun kami menguasai sebahagian besar permainan dan bermain baik pada peringkat awal. Kekalahan ini amat mengecewakan,” katanya.




Tambah Butler, kekalahan terbabit pasti membakar semangat pemainnya untuk mendapatkan sesuatu malam esok dengan menganggap pertarungan sebenar sudah bermula bagi juara bertahan Liga Super 2011 itu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...