MENYEDARI harapan tinggi disandarkan kepadanya, penyerang import Pahang, Nana Yaw berazam membantu skuadnya meraih tiga mata apabila bertemu MBJB FC pada perlawanan pertama Liga Perdana di Stadium Mini Temerloh malam ini.
Selaku import tunggal yang beraksi bersama skuad Tok Gajah itu, Yaw tidak mahu menghampakan peminat bola sepak negeri dan yakin Pahang akan kembali ke Liga Super musim 2013.
Namun, pemain berusia 26 tahun berkenaan terlebih dulu mahu membuktikan kemampuannya apabila bertemu pasukan bertaraf kelab dari Johor itu sebagai ujian pertama dalam usaha meletakkan Pahang dalam kedudukan selesa.
“Saya harap jaringan pertama dapat dicipta pada perlawanan esok (malam ini). Saya kini sudah bersedia dan begitu juga dengan rakan sepasukan yang semakin menunjukkan keserasian dan persefahaman.
“Saya tidak mahu menghampakan pengurusan pasukan dan saya harap kehadiran saya dapat memberi pencapaian memberangsangkan musim ini,” katanya.
Bekas pemain skuad bawah 23 tahun Ghana itu juga mengharapkan aksi mantap dapat dipersembahkan pada perlawanan sulung malam ini kerana mahu perlawanan permbuka tirai Liga Perdana dengan kemenangan.
“Apa yang pasti sejak lebih sebulan berada di Kuantan, saya begitu selesa dan kepercayaan yang diberi pengurusan terutama jurulatih, Dollah Salleh (gambar) akan dibuktikan esok (malam ini),” kata bekas pemain Aduanna FC yang beraksi dalam saingan Divisyen Satu Liga Ghana itu.
Sementara itu, Dollah mengharapkan kehadiran peminat untuk memberi sokongan kepada skuad kendaliannya itu.
“Dengan menampilkan pemain yang lebih mantap musim ini, kami berazam untuk mencipta kejayaan seterusnya layak kembali ke saingan Liga Super,” katanya.
No comments:
Post a Comment