Friday, December 28, 2012

Alves congak kesebelasan terbaik Negeri Sembilan


Sumber: Harian Metro Online

KETUA jurulatih Negeri Sembilan, Divaldo Alves bakal menjadikan perlawanan persahabatan kedua dengan Semen Padang dalam Siri Nusantara di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Ahad ini, medan memilih kesebelasan terbaik bagi kempen Liga M 2013.

Katanya, fokus selepas ini lebih terarah memperkemaskan pasukan dan membaiki kelemahan kerana tempoh persiapan sudah memasuki fasa terakhir kerana Liga Super hanya berbaki kira-kira seminggu sebelum bermula 8 Januari ini.



“Saya akan lihat perkembangan setiap pemain kerana ini adalah persiapan fasa terakhir pasukan dan aksi persahabatan menentang Semen Padang akan digunakan sepenuhnya untuk mengenal pasti pemain mengisi posisi utama.

“Mereka perlu bersaing sesama sendiri untuk memastikan tempat dan sudah pasti hanya pemain yang berada pada tahap kecergasan terbaik akan diberi tanggungjawab menggalas cabaran pasukan pada Liga Super,” katanya.

Pada aksi pertama di Stadium Agus Salim, anak buah Alves kecundang 1-2 dan kini mereka sudah menjanjikan kebangkitan untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan melakar kemenangan.

Sementara itu, persiapan skuad Hoben Jang Hoben dijangka sedikit terjejas berikutan beberapa pemain utama mengalami kecederaan antaranya dua penyerang, Ahmad Shakir Md Ali dan Mohd Firdaus Azizul selain penolong kapten, Norhafiz Zamani Misbah yang belum pulih 100 peratus.

Ahmad Shakir berkata, kecederaan betis kiri ketika menjalani latihan awal minggu ini menjejaskan prestasinya dan mengaku mungkin tidak dapat beraksi pada aksi persahabatan itu.

“Kecederaan ini agak serius dan mungkin mengambil masa lebih dua minggu untuk pulih tapi saya masih boleh melakukan latihan ringan. Saya harap dapat cepat pulih bagi disenaraikan dalam kesebelasan utama,” katanya.

Ahmad Shakir adalah antara pemain yang menjadi sandaran Alves untuk bergandingan dengan penyerang import Argentina, Emanuel De Porras walaupun setakat ini pengendali berpengalaman itu turut menguji penyerang lain termasuk Mohd Firdaus dan Mohd Alafi Mahmud.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...